Kes bunuh lelaki warga asing: 11 ditahan termasuk majikan mangsa

16 Jul 2026, 1:19 AM
Kes bunuh lelaki warga asing: 11 ditahan termasuk majikan mangsa

SHAH ALAM, 16 JULAI: Polis menahan 11 individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga asing yang ditemui berlumuran darah di kaki lima sebuah bangunan kedai di Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru pada 28 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 33 tahun meninggal dunia pada 4 Julai lalu, selepas lapan hari menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, kes berkenaan pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.23 malam, 4 Julai lalu. Bedah siasat yang dijalankan pada 5 Julai mengesahkan punca kematian akibat kecederaan tumpul pada kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan itu polis melancarkan beberapa serbuan antara 5 hingga 6 Julai lalu dan menahan dua lelaki serta seorang wanita tempatan berusia antara 36 hingga 37 tahun yang juga majikan mangsa.

Katanya, polis turut menahan lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 41 tahun yang merupakan rakan sekerja dan kenalan mangsa.

"Tangkapan dibuat di sekitar Skudai, Taman Bukit Indah, Ayer Keroh di Melaka dan Ampang, Kuala Lumpur. Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan," katanya.

Radin Ramlan berkata seorang daripada warga asing yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata tiga warga tempatan pula akan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan keterangan, menyembunyikan bukti atau memberi maklumat palsu dengan niat melindungi pesalah daripada hukuman.

"Baki tujuh lagi lelaki warga asing akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan, pas atau permit yang sah," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.