Sindiket diesel bersubsidi guna taktik tukar individu tumpas

15 Jul 2026, 1:30 PM
Sindiket diesel bersubsidi guna taktik tukar individu tumpas

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dikesan menggunakan taktik menukar individu berbeza pada setiap peringkat penghantaran bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kegiatan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menyerbu sebuah stor penyimpanan diesel haram di Sungai Buloh, hari ini hasil maklumat orang awam dan risikan.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata, sindiket dipercayai mendapatkan diesel daripada beberapa stesen minyak di sekitar Lembah Klang sebelum dikumpulkan di stor berkenaan untuk dipindahkan ke lokasi lain dan dijual kepada pelanggan industri di Kuala Lumpur, Selangor serta Negeri Sembilan.

"Modus operandi mereka menggunakan individu berbeza pada setiap peringkat bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Individu pertama mengisi diesel di stesen minyak sebelum meninggalkan kenderaan bersama kuncinya untuk diambil individu lain.

"Kenderaan kemudian dibawa ke stor bagi memindahkan diesel sebelum individu lain pula menghantarnya ke lokasi rahsia.

"Selepas itu, individu berbeza akan membawa diesel berkenaan untuk dijual kepada pelanggan industri," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi serbuan di Sungai Buloh, hari ini seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati premis itu dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan pemindahan diesel tanpa kebenaran yang sah.

Tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan, membabitkan seorang pemandu lori warga tempatan dan dua penjaga stor warga Bangladesh.

Menurut Sabri, siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit menerima bayaran RM100 bagi setiap perjalanan dengan melakukan dua trip sehari selama lima hari seminggu.

"Dalam operasi ini, kita turut menyita sebuah lori tangki, dua lori bonded satu tan, tujuh tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), tujuh hos dan paip, dua pam diesel serta 9,000 liter diesel yang dipercayai disimpan secara menyalahi undang-undang.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM265,000," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan risikan, stor berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak tiga bulan lalu sebagai pusat pengumpulan diesel sebelum dijual kepada sektor industri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.

"Siasatan turut tertumpu kepada mengenal pasti dalang serta rangkaian yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi ini.

"Jika disabitkan kesalahan, pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.