PKNS anjur final Piala Dunia FIFA 2026 di Aneka Walk

15 Jul 2026, 12:44 PM
PKNS anjur final Piala Dunia FIFA 2026 di Aneka Walk
PKNS anjur final Piala Dunia FIFA 2026 di Aneka Walk

SHAH ALAM, 15 JULAI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menganjurkan PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live, sebuah program tontonan secara langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadualkan berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14, di sini pada 19 hingga 20 Julai ini.

PKNS dalam kenyataan memaklumkan program selama 12 jam yang bermula dari 5 petang hingga 5 pagi itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengunjung yang bakal menikmati pengalaman menyaksikan perlawanan bola sepak paling berprestij di dunia dalam suasana festival yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.

Dianjurkan dengan kerjasama Selangor FC, program itu bukan sekadar menawarkan pengalaman menyaksikan perlawanan bola sepak terbesar dunia secara beramai-ramai, tetapi juga menjadi platform untuk menghidupkan ruang awam melalui gabungan elemen sukan, hiburan, gaya hidup dan keusahawanan dalam satu acara.

“Pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan aksi final Piala Dunia FIFA 2026 yang bermula pada 3 pagi, 20 Julai, malah boleh menikmati pelbagai aktiviti sampingan termasuk pertandingan e-sukan, sesi bertemu pemain Selangor FC, permainan interaktif, cabutan bertuah, jualan makanan serta pelbagai aktiviti menarik seawal 5 petang, 19 Julai.

“Lebih daripada sekadar acara tontonan, PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live turut membuka peluang kepada syarikat korporat dan rakan strategik untuk memperkukuh jenama masing-masing menerusi interaksi secara langsung melalui ruang pameran, aktiviti promosi dan penglibatan bersama-sama komuniti,” menurut kenyataan itu.

PKNS memaklumkan penganjuran itu juga mencerminkan komitmen PKNS dalam menghidupkan Aneka Walk sebagai hab komuniti yang aktif di bawah pembangunan SA Sentral.

Menerusi acara berskala besar seumpama itu, PKNS menyasarkan peningkatan kunjungan orang ramai, merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta mengukuhkan Aneka Walk sebagai destinasi gaya hidup dan pusat aktiviti komuniti yang menjadi pilihan warga Shah Alam.

Sehubungan dengan itu, PKNS mempelawa orang ramai hadir bersama-sama keluarga dan rakan untuk merasai sendiri kemeriahan malam final Piala Dunia FIFA 2026 dalam suasana yang dijangka dipenuhi sorakan, hiburan dan pelbagai pengalaman menarik di tengah bandar raya Shah Alam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.