SHAH ALAM, 15 JULAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengingatkan rakyat Malaysia yang mahu memandu ke Thailand supaya mendapatkan lesen memandu fizikal bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa negara itu.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, lesen memandu fizikal boleh diperoleh di mana-mana kaunter JPJ dengan bayaran RM20.
Beliau berkata, penggunaan lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ memadai untuk pemanduan dalam negara, namun pemandu yang memasuki Thailand perlu membawa lesen fizikal.
Selain itu katanya, orang ramai yang ingin memandu ke luar negara juga boleh mendapatkan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) di mana-mana kaunter JPJ.
“JPJ memang ada mengeluarkan lesen fizikal dengan bayaran RM20 sahaja. Untuk pemanduan dalam negara sudah memadai lesen digital, namun untuk ke Thailand memerlukan lesen fizikal.
“Selain lesen fizikal, mereka yang mahu ke luar negara juga boleh berkunjung ke mana-mana kaunter JPJ untuk mendapatkan Permit Memandu Antarabangsa (IDP),” katanya selepas menghadiri Program Kucha Sugho Queen Ekspress di Kota Bharu, lapor Harian Metro.
Mohd Misuari berkata, tindakan pihak berkuasa Thailand menyaman rakyat Malaysia yang gagal mengemukakan lesen memandu fizikal adalah di bawah bidang kuasa negara berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang berhasrat ke negara jiran supaya memastikan mereka membawa lesen memandu fizikal bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemandu Malaysia dikenakan saman 1,000 baht selepas gagal menunjukkan lesen memandu fizikal ketika sekatan jalan raya di Hat Yai, Thailand.
Ketika pemeriksaan, wanita itu hanya menunjukkan lesen memandu digital melalui aplikasi MyJPJ, namun pihak berkuasa Thailand memaklumkan mereka hanya mengiktiraf lesen memandu Malaysia dalam bentuk fizikal bagi warganegara Malaysia atau Permit Memandu Antarabangsa (IDP) bagi warga asing.
Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata JPJ sebelum ini turut mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan pihak berkuasa di Narathiwat berhubung penggunaan lesen digital Malaysia.
“Kita rakyat Malaysia terkenal dengan disiplin dan saya berharap kita dapat kekalkan disiplin dengan mengambil tahu peraturan di negara yang kita lawati,” katanya.









