KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Perkara biasa jika kucing datang dan pergi, namun apabila empat ekor “si bulus” di bawah jagaannya hilang dalam tempoh tiga bulan lalu, naluri aktivis kucing jalanan yang hanya mahu dikenali sebagai Rosnah ini membisikkan sesuatu yang buruk telah menimpa haiwan berkenaan.
Sepanjang lebih 10 tahun lalu, antara 20 hingga 30 ekor kucing dan anak kucing yang dijaganya menjadi mangsa ular, yang menurut wanita itu bersarang di sebuah rumah terbiar dipenuhi semak samun bersebelahan kediamannya.
"Kalau kucing-kucing itu lari dan masih hidup, saya reda. Tetapi saya tidak sanggup memikirkan kalau mereka dibaham ular,” kata Rosnah, 70, ketika ditemui Bernama di kediamannya, yang turut dijadikan pejabat operasi dan pusat perlindungan kucing, di Ampang, Selangor.
Beberapa tahun lalu, dia terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terjumpa seekor ular sawa sepanjang kira-kira 15 kaki sedang tidur kekenyangan di dalam kurungan yang menempatkan kucing-kucing sakit atau sedang pulih selepas diselamatkan.
Walaupun Rosnah menyifatkan rumah terbiar itu sebagai punca utama kehadiran ular, pakar mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada kerana persekitaran terbiar, ditambah pula dengan cuaca ekstrem seperti gelombang haba akibat fenomena El Niño yang semakin kuat serta kehilangan habitat semula jadi, dapat meningkatkan insiden pertembungan antara manusia dan ular.
Kaitan dengan El Nino
Risiko manusia terserempak dengan ular didapati meningkat apabila suhu persekitaran semakin panas. Kajian yang dijalankan di Costa Rica, negara yang mewajibkan pelaporan kes patukan ular, mendapati jumlah kes meningkat sebanyak 24 peratus setiap kali suhu meningkat. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada 2015 itu turut mengaitkan lonjakan kes tersebut dengan fenomena El Niño.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang, El Niño sudahpun tiba di negara ini dengan fasa Super El Niño dijangka mencapai kemuncaknya antara November tahun ini hingga Januari 2027. Dalam tempoh itu, kebanyakan kawasan di Malaysia dijangka menerima taburan hujan yang lebih rendah daripada biasa.
Ahli biologi alam sekitar dan bekas Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Prof Ahmad Ismail berkata kes patukan ular lazimnya meningkat dengan ketara ketika cuaca panas dan semasa fenomena El Niño kerana, suhu yang melampau menjadikan ular lebih aktif. Pada masa sama, ular dan mangsanya akan bergerak lebih hampir ke kawasan petempatan manusia untuk mencari makanan dan perlindungan.
Beliau berkata sebagai haiwan berdarah sejuk, ular tidak mampu mengawal suhu badan sendiri dan apabila suhu badan meningkat reptilia itu akan mencari tempat yang redup dan sejuk.
"Tempat teduh, air dan kawasan yang sejuk sangat penting untuk kelangsungan hidup ular, dan lokasi seperti kebun, ruang di bawah peralatan rumah, bahkan di dalam rumah dan kenderaan amat sesuai untuk menjadi tempat perlindungan haiwan itu," katanya.
Keadaan itu menyebabkan pertembungan antara manusia dan ular berlaku dengan lebih kerap, yang adakalanya membawa akibat berbahaya.
Trend ini dijangka berterusan. Menurut kajian yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mei 2026, apabila ular terus beradaptasi dengan peningkatan suhu serta mengalami kehilangan habitat, taburannya akan kian meluas, sekali gus menyaksikan semakin banyak haiwan itu memasuki kawasan petempatan manusia.
Berdasarkan statistik JBPM bagi tempoh 2023 hingga Jun 2026, tujuh negeri termasuk Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan kadar penangkapan ular oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan JBPM pada tahap sederhana tinggi hingga sangat tinggi.
Beberapa negeri turut melaporkan peningkatan ketara kes pada tahun ini. Terengganu merekodkan kira-kira 1,700 kes bagi Januari dan Februari; Kelantan lebih 4,000 kes setakat Jun, manakala Kedah mencatatkan 2,716 kes hingga April. Peningkatan itu dikaitkan dengan gelombang haba, kemusnahan habitat dan pembangunan.
Data JBPM turut menunjukkan Selangor merekodkan jumlah konflik antara manusia dan ular tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 4,599 kes hingga Jun tahun ini.
Menurut pakar, cuaca panas juga menyebabkan ular lebih aktif mencari makanan.
"Apabila suhu meningkat, kadar metabolisme ular menjadi lebih pantas. Keadaan ini menyebabkan reptilia itu mengembara lebih jauh dan memburu dengan lebih agresif," kata Ahmad.
Ketua Pusat Operasi Kebombaan Kebangsaan di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya Zulfahmi Sutaji pula berkata ular lazimnya akan menuju kawasan yang mempunyai sumber makanan seperti reban ayam dan kurungan haiwan peliharaan.

"Sifat ular ialah sebagai pemangsa yang memburu makanan. Contohnya, jika seekor tikus melarikan diri masuk ke dalam rumah, ular yang mengejarnya akan turut masuk. Oleh sebab itu penting untuk kita memahami jenis-jenis ular. Ada ular yang memburu tikus, ada juga yang memburu ular lain. Kita perlu memahami sifat semula jadinya. Ular sawa pula akan memburu haiwan seperti anak kucing dan ayam," jelasnya.
Langkah berjaga-jaga
Malaysia mempunyai sistem yang tersusun untuk mengendalikan kes patukan ular.
Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Alzamani Mohd Idrose berkata hospital-hospital terpilih di negara ini menyimpan stok antibisa yang bersesuaian dengan spesies ular berbisa tempatan.
"Selain itu, terdapat juga Remote Envenomation Consultation Services atau RECS, iaitu perkhidmatan rundingan pakar selama 24 jam, yang membantu doktor di seluruh negara membuat diagnosis serta menentukan keperluan pemberian antibisa," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Bagaimanapun, HKL tidak dapat menyediakan rekod jumlah kes patukan ular yang dirawat di hospital itu setakat laporan ini ditulis.
Dr Alzamani berkata walaupun El Niño berpotensi meningkatkan pertembungan antara manusia dan ular yang sedang mencari makanan, air dan tempat berlindung, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada HKL menerima pertambahan kes patukan ular yang berkaitan secara langsung dengan peningkatan suhu.
"Jumlah kes patukan ular turut dipengaruhi oleh corak hujan, aktiviti pertanian dan pembangunan bandar. Oleh itu, sukar untuk mengaitkan peningkatan kes semata-mata dengan fenomena El Niño," katanya.
Pakar turut menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri reptilia itu sekiranya terserempak. Sebaliknya, mereka disaran menghubungi JBPM atau APM serta mengambil gambar atau video ular berkenaan dan mencatat lokasi kejadian bagi memudahkan anggota penyelamat menangkap haiwan itu dengan selamat.

Sekiranya dipatuk ular, Dr Alzamani menasihati orang ramai supaya bertenang, menjauhkan diri daripada ular tersebut, memastikan anggota badan yang dipatuk tidak banyak bergerak serta menanggalkan cincin, jam tangan atau pakaian yang ketat sebelum bengkak berlaku. Mangsa juga perlu segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran atau menghubungi perkhidmatan kecemasan sekiranya mengalami gejala yang serius.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memotong bahagian luka, menyedut bisa ular, meletakkan ais, menggunakan ubat tradisional atau bahan kimia pada kawasan patukan, ataupun memasang ikatan yang terlalu ketat (tornikuet).
"Jangan sesekali cuba menangkap atau membunuh ular kerana tindakan itu hanya meningkatkan risiko dipatuk sekali lagi," katanya.
Bagi mengurangkan konflik antara manusia dan ular, Zulfahmi menyarankan orang ramai memutuskan rantaian makanan ular dengan menutup semua ruang atau lubang yang boleh menjadi laluan reptilia itu memasuki rumah, termasuk saluran paip
“Kalau tikus tidak dapat masuk ke rumah, ular pun tidak akan datang. Jika tiada ruang untuk haiwan seperti musang dan kelawar masuk, pemangsa juga tidak akan tertarik ke kawasan itu. Jika memelihara haiwan atau ayam, gunakan kurungan yang sesuai. Kandang yang dibina secara ala kadar memudahkan ular menyelinap masuk," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan rumput sentiasa dipotong dan kawasan rumah berada dalam keadaan bersih serta terurus.
Namun bagi Rosnah, perkara tersebut tidak semudah itu. Sejak insiden terserempak ular sawa berehat selepas kekenyangan di dalam kurungan kucingnya, dia telah mengambil pelbagai langkah bagi menghalang reptilia itu daripada memasuki rumah dan halaman kediamannya. Dia menutup longkang dan saluran paip dengan jaring, memasang batang besi berjarak rapat pada kurungan kucing serta membina tembok tinggi yang dipasang kawat duri di bahagian atas, selain membeli bebola belerang dengan harapan dapat menghalau ular.
Namun dia tetap kecewa kerana, walaupun mampu memastikan rumah dan halamannya sentiasa bersih, tiada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas selain kompaun diambil terhadap pemilik rumah terbiar bersebelahan kediamannya itu bagi memaksa mereka membersihkan dan menyelenggara premis yang kian semak tersebut.
"Ini bukan hutan. Ini kawasan perumahan," katanya.







