SHAH ALAM, 14 JULAI: Seorang lelaki berusia 31 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Kemuning, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 pagi.
Susulan itu, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.
"Anggota bomba yang tiba pada jam 10.42 pagi mendapati kemalangan melibatkan sebuah treler, sebuah lori satu tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
"Pemandu pacuan empat roda didapati tersepit sebelum anggota bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan keadaan ketiga-tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berkenaan, dengan beberapa hantaran mengaitkan kejadian itu dengan dakwaan membabitkan pemandu mabuk.
Bagaimanapun, setakat ini polis belum mengesahkan punca sebenar kemalangan dan siasatan masih dijalankan.







