SHAH ALAM, 14 JULAI: Polis sedang menyiasat dari semua sudut bagi mengenal pasti suspek yang menyerang pengkritik bola sepak tempatan Joe Zakaria dalam kejadian di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, usaha mengumpul bukti sedang giat dijalankan, termasuk mengesan serta menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian dan kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan awam.
"Kita akan siasat dari semua sudut termasuk meneliti rakaman CCTV dan dashcam. Pada masa yang sama, pihak polis akan memanggil dan merakam percakapan saksi-saksi yang boleh membantu siasatan," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata, punca sebenar serangan itu masih belum dapat dipastikan dan motif kejadian sedang disiasat.
"Motif kejadian kini sedang dalam siasatan polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu kelancaran proses siasatan.
"Pihak polis turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut atau kebetulan berada di lokasi kejadian semasa insiden berlaku untuk segera tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Semalam, Shamsudin memaklumkan polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam, 11 Julai lalu.
Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang mengisi angin tayar didatangi dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC sebelum dipukul berkali-kali, manakala kejadian itu turut dirakam.
Akibat serangan berkenaan, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata selain beberapa kecederaan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, sementara usaha mengesan kedua-dua suspek masih diteruskan.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan Joe Zakaria ditumbuk dan diterajang beberapa kali sehingga terduduk sebelum orang awam campur tangan meleraikan kejadian.
Kedua-dua penyerang dilihat memakai topi keledar dan pelitup muka sehingga menyukarkan identiti mereka dikenal pasti.
Video asal yang dimuat naik Joe Zakaria kemudiannya dipadamkan, namun rakaman berkenaan terus dikongsi semula di beberapa platform media sosial.
Untuk rekod, Joe Zakaria atau nama sebenarnya Azizurrahman aktif menghasilkan kandungan berkaitan jersi, kasut dan ulasan bola sepak tempatan menerusi saluran YouTube YTSK yang mempunyai kira-kira 10,900 pelanggan dengan lebih 150 video setakat hari ini.







