PETALING JAYA, 14 JULAI: Lokasi majlis pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 akan dimuktamadkan minggu ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata setakat ini, Dataran Kemerdekaan Shah Alam hampir pasti dipilih sebagai lokasi majlis pembukaan selaras hasrat Kerajaan Negeri menganjurkan temasya dwitahunan itu secara berhemah dan sederhana.
“Sekarang ini dalam proses, kita sudah buat lawatan lokasi dan sebagainya. Hampir pasti (Dataran Kemerdekaan Shah Alam) lokasinya. Kita akan adakan mesyuarat jawatankuasa induk dalam minggu ini yang akan dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor.
“Jadi dalam mesyuarat itu nanti kita akan buat keputusan dan kemudian kita akan umumkan. Cuma yang saya boleh katakan hampir pasti di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Insya-Allah minggu ini kita putuskan secara muktamad,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Najwan memaklumkan Dataran Kemerdekaan Shah Alam hampir pasti dipilih sebagai lokasi majlis pembukaan temasya itu.
Menurutnya, beberapa aspek, termasuk keselamatan, sedang dimuktamadkan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum pengumuman rasmi dibuat.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.
Kejohanan tersebut akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala PARA SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.
Temasya sukan terbesar negara itu melibatkan penyertaan semua kontinjen negeri selain Brunei Darussalam sah menyertainya sebagai kontinjen jemputan, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen.








