Pertandingan Kraf Selangor perkasa ekonomi kreatif, tawar hadiah lebih RM90,000

14 Jul 2026, 7:09 AM
Pertandingan Kraf Selangor perkasa ekonomi kreatif, tawar hadiah lebih RM90,000
Pertandingan Kraf Selangor perkasa ekonomi kreatif, tawar hadiah lebih RM90,000

PETALING JAYA, 14 JULAI: Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM90,000 sebagai usaha memperkasa industri ekonomi kreatif serta mengangkat Batik Selangor sebagai identiti negeri yang bernilai tinggi.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pertandingan bertemakan warisan, identiti dan inovasi itu menjadi antara pertandingan batik dan kraf paling berprestij pernah dianjurkan di Selangor.

Menurut beliau, pertandingan itu turut mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin untuk menggunakan nama Baginda sebagai identiti rasmi pertandingan.

“Pertandingan ini merupakan platform strategik bagi merangsang penghasilan reka bentuk baharu, inovasi produk serta meningkatkan nilai komersial Batik Selangor tanpa mengabaikan keaslian seni, kemahiran tradisional pembatik dan warisan budaya.

“Selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri, pertandingan ini turut membawa hasrat untuk merakyatkan Batik Selangor agar menjadi pilihan masyarakat dalam kehidupan seharian, bukan sekadar pakaian rasmi atau eksklusif.

“Inisiatif ini diharap dapat memupuk rasa bangga terhadap warisan negeri serta mengukuhkan identiti budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 hari ini.

Mohd Najwan berkata penyertaan dibuka mulai hari ini dengan menawarkan dua kategori iaitu Fesyen Batik Selangor dan Lukisan Batik Selangor yang terbuka kepada semua.

“Pertandingan itu selaras dengan agenda pembangunan Ekonomi Kreatif Selangor, yang melihat sektor seni dan budaya melalui subsektor fesyen dan tekstil bukan sahaja sebagai khazanah yang perlu dipelihara.

“Malah ia sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu menjana peluang pekerjaan, melahirkan usahawan kreatif serta memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif negara.

“Kerajaan Negeri yakin melalui usaha kolektif ini, Batik Selangor bukan sahaja akan terus dipelihara sebagai warisan budaya negeri, malah berpotensi berkembang menjadi jenama kreatif bertaraf antarabangsa yang mampu mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata perubahan trend masa kini menunjukkan batik semakin diterima golongan muda, namun reka bentuk yang dihasilkan perlu lebih segar dan menepati cita rasa generasi baharu khususnya Gen Z.

“Kalau kita mahu ketengahkan kepada generasi muda, reka bentuk batik perlu lebih moden dan inovatif supaya mereka melihat batik sebagai sesuatu yang menarik dan dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Program Kraf Selangor:Piala Tengku Permaisuri Selangor Mohamad Nor Imran Mat Shah berkata karya terbaik yang dihasilkan menerusi pertandingan itu berpotensi diketengahkan sebagai pilihan corak Batik Selangor untuk digunakan dalam majlis rasmi negeri, termasuk di sekolah dan agensi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan Batik Selangor mempunyai identiti tersendiri di tengah-tengah lambakan reka bentuk batik yang berada di pasaran ketika ini.

“Memang itu visi kita untuk memastikan setiap karya yang dihasilkan dapat diangkat di Selangor dan digunakan dalam majlis rasmi. Kalau tidak dapat di peringkat tertentu, mungkin kita boleh gunakan di peringkat sekolah Kerajaan Negeri sebagai pakaian rasmi supaya Batik Selangor ini mempunyai identiti tersendiri,” katanya.

Pada 2022, Dato' Menteri Besar melancarkan Batik Selangor bercorak bunga tanjung kelopak sembilan sebagai simbolik sembilan daerah yang terdapat di negeri ini.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata sebagai permulaan, batik yang dihasilkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dengan kerjasama Kraftangan Malaysia digayakan oleh EXCO, ahli dewan negeri dan penjawat awam di negeri ini.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.