BUTTERWORTH, 13 JULAI: Dua objek menyerupai bom yang ditemukan di dalam sebuah stor rumah di Taman Bagan di sini semalam disahkan sebagai bom mortar latihan milik tentera, yang tidak mengandungi bahan letupan serta tidak mendatangkan sebarang bahaya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata penemuan itu dimaklumkan kepada polis selepas seorang wanita tempatan hadir ke Balai Polis Butterworth bersama dua objek menyerupai bom itu, yang ditemukan ketika mengemas stor rumah mendiang bapanya.
"Siasatan awal mendapati wanita itu menemukan objek tersebut ketika membersihkan stor rumah bapanya yang meninggal dunia pada Disember tahun lepas, kediaman berkenaan sebelum ini didiami oleh mendiang bapanya bersama ibunya yang berusia lingkungan 60-an.
"Saksi juga tidak mengetahui kewujudan objek itu dan siasatan di lokasi mendapati stor tersebut digunakan untuk menyimpan barangan lama milik mendiang sejak kira-kira 20 tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan kedua-dua objek itu ialah bom mortar latihan yang tidak mengandungi bahan letupan, dan bom berkenaan telah diserahkan kepada UPB untuk tindakan lanjut.







