Perkukuh integrasi nasional dalam pendidikan, pacu kemajuan Selangor

13 Jul 2026, 10:45 AM
Perkukuh integrasi nasional dalam pendidikan, pacu kemajuan Selangor
Perkukuh integrasi nasional dalam pendidikan, pacu kemajuan Selangor
Perkukuh integrasi nasional dalam pendidikan, pacu kemajuan Selangor
Perkukuh integrasi nasional dalam pendidikan, pacu kemajuan Selangor
Perkukuh integrasi nasional dalam pendidikan, pacu kemajuan Selangor

SUNGAI BULOH, 13 JULAI: Sistem pendidikan termasuk institusi swasta di Selangor perlu terus memberi penekanan terhadap aspek integrasi nasional bagi melahirkan generasi yang yakin, saling memahami dan mampu memacu pembangunan ekonomi negeri pada masa depan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pendidikan bukan sekadar medium melahirkan pelajar cemerlang, sebaliknya menjadi asas membentuk masyarakat yang menghargai kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Menurut beliau, semua sistem pendidikan yang berkembang seiring perlu turut menitikberatkan usaha memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional supaya masyarakat terus hidup dalam suasana harmoni.

"Pada akhirnya, dalam pelbagai sistem pendidikan yang bergerak seiring, kita juga harus memikirkan aspek perpaduan dan integrasi nasional. Aspek ini sewajarnya diberikan penekanan.

"Kerajaan Negeri mahu nilai itu diintegrasikan dalam sistem pendidikan. Saya yakin Selangor akan menjadi negeri yang lebih maju dengan melahirkan rakyat yang yakin terhadap diri sendiri dan masyarakat di sekeliling mereka.

"Kita bukan sekadar bertoleransi, tetapi saling memahami. Itulah kekuatan yang perlu kita kekalkan di Selangor. Semangat kebersamaan mesti dibina berasaskan kepercayaan dan kefahaman supaya lahir sebuah masyarakat yang benar-benar yakin," katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh pada 13 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah kampus baharu Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng di Bandar Seri Coalfields, di sini, hari ini.

Amirudin berkata keyakinan dalam masyarakat majmuk penting bagi memastikan Selangor terus kekal sebagai negeri peneraju ekonomi negara yang berdaya saing.

Menurutnya, masyarakat yang saling memahami akan lebih bersedia menghadapi cabaran global, justeru pendidikan perlu memainkan peranan membentuk nilai hormat-menghormati, kemanusiaan dan semangat kebersamaan sejak di bangku sekolah.

Beliau turut memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus menyokong semua aliran pendidikan di Selangor termasuk sekolah kebangsaan, sekolah vernakular dan institusi pendidikan agama kerana pembangunan modal insan merupakan aset paling berharga negeri.

"Sumber terbesar Selangor ialah manusia. Kita tidak mempunyai sumber bumi yang besar seperti petroleum atau emas, sebab itu pelaburan terhadap pendidikan adalah pelaburan paling penting untuk memastikan negeri ini terus relevan dan kekal sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pencapaian ekonomi Selangor hanya dapat dikekalkan sekiranya negeri itu terus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu hidup dalam masyarakat majmuk yang harmoni.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Kuen Cheng Tan Sri William Cheng Heng Jem (lima kanan) dan Pengerusi Eksekutif KLK Tan Sri Lee Ooi Hian (lima kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh pada 13 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Pendidikan adalah asas untuk memastikan Selangor terus relevan, memacu pembangunan negeri serta mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara.

"Saya percaya Sekolah Menengah Kuen Cheng mempunyai semangat untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja membawa kejayaan kepada keluarga, tetapi turut menyumbang kepada kemajuan negeri, negara dan dunia," katanya.

Terdahulu, pembinaan Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng cawangan Selangor dijangka mampu menempatkan kira-kira 3,000 pelajar apabila siap sepenuhnya menjelang 2031, manakala pengambilan pertama disasar bermula awal 2028.

Projek berkenaan telah memperoleh kelulusan kebenaran merancang (KM) dan pelan bangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pembinaannya dilaksanakan di atas tanah yang disumbangkan oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), manakala kos pembangunan dibiayai menerusi sumbangan orang ramai.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.