SHAH ALAM, 13 JULAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih bergantung kepada pembekal luar negara bagi mendapatkan aset strategik seperti pesawat, kapal dan sistem persenjataan berteknologi tinggi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata kebergantungan itu realiti dalam industri pertahanan global berikutan tahap kompleksiti serta kos pembangunan aset pertahanan yang tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan kebergantungan berkenaan tidak menjejaskan perancangan pembangunan aset strategik negara menerusi pendekatan jangka panjang yang lebih mampan.
"Kebergantungan ini merupakan realiti dalam industri pertahanan global memandangkan tahap kompleksiti serta kos pembangunan aset berkenaan.
"Bagaimanapun, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kebergantungan ini tidak menjejaskan perancangan pembangunan aset strategik negara melalui pendekatan jangka panjang yang lebih mampan," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang di Dewan Rakyat mengenai sejauh mana kebergantungan ATM kepada pembekal luar negara menjejaskan pembangunan aset strategik negara.
Adly berkata, kerajaan turut memperkukuh industri pertahanan tempatan melalui peningkatan kapasiti industri domestik, pembangunan tenaga mahir serta pemerkasaan ekosistem industri selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Menurut beliau, usaha itu bertujuan mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan, kelewatan penghantaran serta kebergantungan kepada sumber luar.
Pada masa sama, beliau berkata tujuh projek rintis di bawah DIPN sedang dilaksanakan bagi membangunkan keupayaan strategik tempatan dan memperkukuh kemandirian industri pertahanan negara.
Katanya, projek berkenaan merangkumi pembangunan satelit pertahanan, sistem laser pertahanan, sistem perisikan elektronik pasif, persenjataan, platform beroda, simulator pertahanan serta teknologi dron.







