Kerajaan utamakan perolehan aset pertahanan buatan tempatan

25 Nov 2026, 10:24 AM
Kerajaan utamakan perolehan aset pertahanan buatan tempatan

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan akan mengutamakan pembangunan dan perolehan aset pertahanan keluaran tempatan bagi memperkukuh industri pertahanan negara, namun tidak menolak keperluan mendapatkan aset dari luar negara mengikut keperluan semasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Malaysia mempunyai keupayaan membangunkan aset sendiri, seperti yang dilaksanakan di Pekan, Pahang, sekali gus membuktikan potensi teknologi tempatan dalam memenuhi keperluan sektor pertahanan, lapor Berita Harian.

"Kerajaan mahu memastikan keupayaan dan teknologi tempatan terus dibangunkan sebagai keutamaan pada masa hadapan.

"Seboleh-bolehnya, kita akan mendapatkan aset daripada dalam negara.

"Namun, kita juga tidak menutup ruang kepada pihak pertahanan untuk menilai aset dari luar negara mengikut keperluan dan spesifikasi yang ditetapkan," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas cadangan memanjangkan tempoh latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 kepada sekurang-kurangnya 90 atau 180 hari, Adly berkata perkara itu masih dalam perbincangan awal dan belum dimuktamadkan.

Katanya, sebarang cadangan penambahan tempoh latihan perlu diteliti dengan mengambil kira objektif PLKN serta kemampuan kewangan kerajaan.

"Pihak kementerian belum mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan berkenaan.

"Sebarang penambahan tempoh latihan memerlukan kajian lanjut terhadap objektif PLKN dan kemampuan kewangan kerajaan secara keseluruhan," katanya.

Mengenai lokasi latihan PLKN 3.0, beliau berkata kerajaan sudah mengenal pasti 13 kem tentera yang sedang dinaik taraf secara berperingkat dengan peruntukan pembangunan melebihi RM80 juta.

"Pemeriksaan turut dilaksanakan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan pihak berkepentingan," katanya.

Sementara itu, Adly memberi jaminan bahawa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 kekal dianjurkan di pulau berkenaan, sekali gus menepis kebimbangan penduduk mengenai kemungkinan lokasi penganjuran dipindahkan ke Melaka.

"Kita sudah menegaskan bahawa LIMA 2027 akan terus dianjurkan di Langkawi.

"Jadi, kepada penduduk Langkawi, sekiranya terdapat perancangan untuk LIMA 2027, teruskan perancangan berkenaan kerana kita tahu bahawa kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk kemudahan di Langkawi. Kita juga mempunyai aset di sana," katanya.

LIMA 2027 menyasarkan penyertaan 930 syarikat pempamer dari 36 negara, lebih 450 delegasi rasmi dari 65 negara serta kira-kira 400,000 pengunjung sepanjang penganjuran.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.