ad
BERITA UTAMA

MB: Kopi tempatan miliki nilai asli, mampu tembusi pasaran global

22 Jun 2025, 4:50 PM
MB: Kopi tempatan miliki nilai asli, mampu tembusi pasaran global
MB: Kopi tempatan miliki nilai asli, mampu tembusi pasaran global

Oleh Ufairah Tarmidzi

AMPANG JAYA, 22 JUN: Seiring perkembangan industri, penggiat kopi tempatan digesa lebih aktif mengetengah keunikan dan keaslian rasa kopi Malaysia, daripada aroma hingga ke teknik penyediaan.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau yakin cita rasa kopi tempatan yang sarat dengan identiti dan warisan tersendiri berpotensi untuk bersaing dengan produk multinasional yang mengutamakan nilai komersial semata-mata.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada produk syarikat multinasional yang hanya menekankan nilai komersial namun, kurang daripada segi elemen keaslian yang membentuk budaya kopi tempatan.

“Teknik pemanggangan dengan tahap kepanasan yang betul dalam penyediaan kopi juga penting dalam menentukan kualiti dan cita rasa kopi supaya ia tidak terlalu hancur kerana rasanya akan sama seperti produk di pasaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pesta Kopi Melawati 2025 dan Lorong Seni, Jalan Negara Kita di Melawati Square, Taman Melawati di sini hari ini.

[caption id="attachment_706673" align="alignnone" width="910"] Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari cuba membancuh kopi di Pesta Kopi Melawati 2025 pada 22 Jun 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Tambah Amirudin, budaya kopi tempatan juga mengalami transformasi luar biasa sejak 10 hingga 20 tahun lalu iaitu daripada sekadar minuman harian kepada satu bentuk apresiasi seni dan gaya hidup.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat menghargai serta tidak melupakan kopi tempatan yang mempunyai identiti dan cita rasa tersendiri meskipun negara dipenuhi jenama antarabangsa di pasaran.

Sebelum ini, menerusi Belanjawan Selangor 2025, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi penganjuran Selangor Coffee Festival (SELCOF) yang menjadi platform pemain industri menerokai perkembangan teknologi melibatkan industri kopi.

Selain itu, Kerajaan Selangor juga akan menganjurkan ASEAN Barista Championships sebagai peluang untuk barista-barista di negeri ini membangun dan bersaing dengan pakar-pakar dunia kopi di seluruh Asia Tenggara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.