SHAH ALAM, 13 JULAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi landskap keselamatan yang semakin kompleks dan sukar dijangka.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembangunan Angkatan Masa Hadapan ATM mesti berasaskan konsep kesepaduan antara tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara bagi memastikan negara memiliki keupayaan pertahanan yang mantap, lapor Sinar Harian.
“Setiap perkhidmatan tidak lagi boleh bergerak secara bersendirian. Apa juga perancangan pertahanan mesti berteraskan kesepaduan antara ketiga-tiga perkhidmatan supaya kita mempunyai kekuatan untuk menghadapi apa jua cabaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 Edisi Pantai Timur di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, hari ini.
Turut hadir Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin.
Mohamed Khaled berkata ancaman keselamatan kini tidak lagi tertumpu kepada peperangan konvensional semata-mata, sebaliknya melibatkan serangan siber, manipulasi maklumat, peperangan hibrid, gangguan rantaian bekalan, bencana alam serta persaingan kuasa besar.
Menurutnya, Angkatan Masa Hadapan bukan hanya bergantung kepada aset yang lebih canggih atau keupayaan konvensional, sebaliknya perlu bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman baharu termasuk peperangan hibrid dan peperangan asimetrik.
Katanya, peperangan hibrid menggabungkan pelbagai bentuk ancaman seperti ketenteraan, siber, propaganda dan tekanan ekonomi secara serentak, manakala peperangan asimetrik menggunakan kaedah tidak konvensional untuk menandingi kekuatan pihak yang lebih besar.
“Kita juga berhadapan dengan peperangan kognitif yang mensasarkan pemikiran, persepsi dan keyakinan rakyat untuk memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata kekuatan Angkatan Masa Hadapan bukan hanya terletak pada aset dan teknologi, malah bergantung kepada keupayaan anggota ATM untuk terus meningkatkan ilmu, kemahiran serta menyesuaikan diri dengan keperluan pertahanan semasa.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata agenda pertahanan negara perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan hanya melibatkan aset dan operasi ketenteraan, malah turut merangkumi aspek modal insan, keluarga, industri, teknologi, ekonomi serta institusi sokongan.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan telah menggariskan hala tuju itu menerusi Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026–2030, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan 2026–2030, Dasar Industri Pertahanan Negara serta pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS).
LTAT pula memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pertahanan negara menerusi pengurusan simpanan anggota, sokongan kepada keluarga serta bantuan kepada veteran membina kerjaya kedua.







