KOTA TINGGI, 22 NOV: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bercadang menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kes penemuan dadah di Pangkalan Udara Subang sebaik sahaja siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jawatankuasa itu akan meneliti sama ada kejadian berkenaan merupakan kes terpencil atau sudah menjadi budaya dalam kalangan warga kerja, selain mengenal pasti kemungkinan wujud kelompangan dalam prosedur keselamatan sedia ada.
“Selepas siasatan polis selesai, memang kita cadang akan tubuhkan (jawatankuasa) sebab kita nak semak sama ada ini kes-kes terpencil ataupun ia sudah menjadi budaya. Itu kita akan semak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Kota Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan dalaman itu akan dijadikan asas untuk menambah baik dan memperketat kawalan keselamatan di semua pangkalan udara di seluruh negara.
Mohamed Khaled berkata pemeriksaan serupa akan dilaksanakan di semua pangkalan udara, selain tidak menolak kemungkinan aset tentera termasuk pesawat pengangkut digunakan sindiket bagi mencapai tujuan mereka.
“Tapi apa pun oleh kerana berlaku begini, kita tak tolak kemungkinan apa tu aset-aset tentera digunakan seperti kapal terbang, kapal terbang pengangkut menjadi alat kepada sindiket.
“Sindiket ni saya percaya akan gunakan apa saja untuk mencapai matlamatnya,” katanya yang turut memuji tindakan Provost Marshal dalam mengesan perkara berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Mohamed Khaled menegaskan MINDEF tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana anggota yang didapati terlibat dalam kegiatan jenayah, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Mohamed Khaled yang kesal dengan kejadian itu berkata insiden berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat, malah turut menjejaskan reputasi dan mencemarkan imej institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata anggota tentera perlu memahami bahawa perbuatan mengkhianati amanah dan menjejaskan integriti boleh membawa hukuman berat, selain kementerian tidak akan melindungi mana-mana individu yang melakukan kesalahan sedemikian.
Beliau berkata kejadian seumpama itu juga berpotensi menjejaskan kesiagaan ATM dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara serta menjaga kedaulatannya, sekiranya berlaku secara berleluasa.
Mohamed Khaled sebelum ini memaklumkan pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang, Selasa lepas, membawa kepada penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak, selain penahanan lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat.
Penemuan itu dibuat petugas di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dan merupakan kejadian pertama seumpamanya dikesan menerusi pemeriksaan rutin berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata bahawa 11 individu ditahan termasuk lima pegawai TUDM di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 Nov lepas susulan insiden itu.







