SHAH ALAM, 13 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 503 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi Op Mega yang dijalankan serentak di 16 lokasi di seluruh negara sejak semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu memfokuskan pemeriksaan di premis perniagaan yang disyaki menggaji pekerja asing secara tidak sah atau menyalahgunakan pas.
Beliau berkata operasi bermula jam 11 pagi itu membabitkan lebih 876 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, seramai 2,260 individu terdiri daripada warga asing dan majikan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
"Seramai 2,260 individu terdiri daripada warga asing dan majikan telah diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai 503 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya pada sidang media di lokasi serbuan di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, lapor Harian Metro.
Zakaria berkata, seramai 120 individu turut dipanggil sebagai saksi membabitkan penjaga, warganegara Malaysia atau majikan kepada pekerja asing berkenaan.
Katanya, saman akan dikeluarkan kepada mereka bagi membolehkan proses memberi keterangan dijalankan.
Beliau berkata semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta memiliki kad yang tidak diiktiraf.
Menurutnya, terdapat juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang ditahan bagi membolehkan semakan dibuat untuk mengesahkan ketulenan dokumen sebelum tindakan lanjut diambil.
"Jika kad itu disahkan tulen, kita akan mengambil tindakan susulan sama ada membebaskan mereka atau menyerahkan kepada pihak UN," katanya.
Zakaria berkata antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan melanggar syarat pas, termasuk pemegang pas sektor pembinaan yang bekerja di premis lain seperti kedai kain dan kedai pakaian.
Beliau menegaskan JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan mengenal pasti kawasan hotspot yang menjadi tumpuan warga asing.








