Dua sindiket 'scammer' tumpas, kaut RM6 juta dalam dua bulan

29 Okt 2026, 12:36 PM
Dua sindiket 'scammer' tumpas, kaut RM6 juta dalam dua bulan

PUTRAJAYA, 29 OKT: Dua sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai mengaut keuntungan RM6 juta dalam tempoh dua bulan ditumpaskan menerusi serbuan di kondominium mewah dan banglo sekitar Lembah Klang.

Seramai 64 warga asing ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen pada 28 dan 29 Oktober, membabitkan 44 warga China, 19 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar, lapor Berita Harian.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata sindiket itu beroperasi dari empat unit kondominium di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur dan dua banglo di The Mines, Seri Kembangan.

Menurutnya, sindiket dipercayai menjana pendapatan antara RM100,000 hingga RM150,000 sehari menerusi skim pelaburan palsu dan tawaran perkhidmatan yang tidak wujud.

Pemeriksaan komputer yang dirampas menemukan rekod transaksi menunjukkan sindiket mengutip lebih RM60,000 pada hari serbuan, dengan jumlah keuntungan dianggarkan RM6 juta sepanjang dua bulan beroperasi.

Zakaria berkata, sindiket sanggup membelanjakan wang yang besar untuk menyewa premis eksklusif bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dan masyarakat setempat.

Katanya, dua banglo di The Mines disewa pada kadar keseluruhan RM25,000 sebulan, manakala setiap unit kondominium di Jalan Kerinchi disewa antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Menurutnya, anggota sindiket jarang keluar dari premis, dengan makanan dan keperluan lain dihantar setiap hari atau setiap minggu bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan dalam tempoh panjang.

Pemeriksaan turut menemukan peralatan karaoke dan minuman beralkohol, selain petunjuk kemungkinan aktiviti perjudian dalam talian dijalankan. Bagaimanapun, perkara itu masih belum dapat disahkan tanpa bukti lanjut.

Zakaria berkata, anggota sindiket dipercayai bekerja dari jam 10 pagi hingga 11 malam dengan menerima gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM6,000.

Mereka turut diberikan komisen 17 peratus bagi setiap penipuan yang berjaya dilakukan, manakala rekod agihan komisen ditemukan bersama transaksi individu. Kaedah pembayaran komisen itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menyasarkan mangsa di negara asal masing-masing dengan menggunakan bahasa yang sama bagi mendapatkan kepercayaan mereka.

Warga China dipercayai menyasarkan mangsa di China, manakala warga Vietnam pula menyasarkan mangsa di Vietnam bagi memudahkan komunikasi dan meyakinkan mangsa bahawa mereka berurusan dengan pihak yang sah.

Selain itu, sindiket dipercayai menggunakan platform komunikasi digital termasuk Telegram untuk berhubung dengan mangsa, mengendalikan khidmat pelanggan dan menjalankan skim pelaburan palsu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.