SHAH ALAM, 13 JULAI: Seorang YouTuber dan pengkritik bola sepak berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan termasuk patah tulang mata selepas dipukul dua individu tidak dikenali di stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang ingin mengisi angin tayar kenderaannya didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal Yamaha LC dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.
"Suspek memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi. Akibat kejadian itu, mangsa patah tulang mata dan beberapa kecederaan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
”Motif kejadian masih dalam siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan bahan berkaitan kejadian di mana-mana platform sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.






