12 suspek ditahan kes samun YouTuber Taiwan

12 Ogos 2026, 1:47 AM
12 suspek ditahan kes samun YouTuber Taiwan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Polis menahan 12 individu yang disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis membabitkan seorang YouTuber warga Taiwan di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya menerima laporan 1 Ogos lalu daripada seorang lelaki warga Jepun berusia 43 tahun yang memaklumkan majikannya menjadi mangsa kejadian.

Menurutnya, mangsa yang juga YouTuber warga Taiwan berusia 38 tahun dipukul dan disamun hingga mengalami kecederaan serta kerugian dianggarkan lebih RM35,000.

“Siasatan mendapati motif kejadian dipercayai kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan wang tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi, sekali gus menjadi pencetus kepada jenayah berkenaan,” katanya.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur melancarkan operasi khas bagi mengesan individu terbabit.

Fadil berkata operasi berkenaan berjaya membawa kepada penahanan 12 individu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, semua yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun.

“Daripada 12 suspek yang ditahan, tujuh dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Ogos selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi direman sehingga 13 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Pada masa sama, polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.