Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam kebakaran pusat hiburan di Bangkok - Wisma Putra

13 Jul 2026, 5:07 AM
Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam kebakaran pusat hiburan di Bangkok - Wisma Putra

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Wisma Putra mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan antara mangsa kebakaran besar di sebuah pusat hiburan di Bangkok, Thailand, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 nyawa.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata kebakaran itu berlaku semalam dan Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang memantau rapat perkembangan susulan kejadian.

“Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden berkenaan.

“Kedutaan akan terus memantau dengan teliti perkembangan situasi di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan kementerian akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan perkembangan terkini sekiranya terdapat maklumat baharu melibatkan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Bangkok dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular dengan segera, rakyat Malaysia digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau berdepan kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menerusi talian +66 2 340 5720 atau e-mel mwbangkok@kln.gov.my.

Terdahulu, media melaporkan kebakaran berlaku di pub Rong Beer Na Lat Phrao di daerah Chatuchak, utara Bangkok, sekitar tengah malam tadi, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, manakala 63 mangsa dimasukkan ke hospital, termasuk 22 yang dilaporkan kritikal.

Pihak berkuasa Thailand masih menyiasat punca kebakaran, dengan penilaian awal menjurus kepada kemungkinan litar pintas berhampiran pentas.

Pemeriksaan turut mendapati laluan keluar kecemasan terhalang oleh peti minuman dan perabot, manakala ramai mangsa ditemukan berhampiran tandas di bahagian belakang premis selepas dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada asap tebal.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.