SHAH ALAM, 13 JULAI: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membakar rumah ibunya di Kampung Sungai Baru, Jitra, Kedah, semalam, dipercayai berpunca daripada perselisihan dengan ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu disedari sepupu suspek yang sedang berniaga di hadapan rumah berkenaan, lapor Berita Harian.
Beliau berkata saksi melihat suspek memasuki rumah sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian. Tidak lama selepas itu, saksi ternampak asap keluar dari ruang tamu manakala suspek meninggalkan lokasi.
"Rumah yang terbakar itu milik ibu suspek berusia 60 tahun yang kini menetap di Pokok Sena.
"Pengadu melihat kepulan asap keluar dari tingkap sebelum api merebak dengan cepat dari ruang tamu rumah berkenaan," katanya.
Mohd Radzi berkata pengadu segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan memadam kebakaran.
Menurutnya, pemeriksaan bomba mendapati kira-kira 80 peratus rumah itu musnah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak membakar rumah terbabit susulan pertengkaran dengan ahli keluarganya.
"Suspek ditahan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat memusnahkan atau merosakkan rumah, bangunan atau tempat simpanan harta benda," katanya.
Mohd Radzi berkata semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau, termasuk empat kes di Jitra membabitkan ugutan jenayah, mendatangkan kecederaan dan kesalahan dadah, selain satu lagi kes di Padang Besar, Perlis mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Semalam, media melaporkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Baru musnah dalam kebakaran yang disyaki berpunca daripada perbuatan khianat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajuddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.25 petang dan mengesahkan kebakaran tidak membabitkan sebarang mangsa.
Beliau berkata kira-kira 80 peratus rumah itu musnah sebelum kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.







