KAJANG, 13 JULAI: Senarai akhir atlet yang akan mewakili Selangor pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 diumumkan pada 25 Julai ini, kata EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.
Beliau berkata proses pemuktamadan kini berada di peringkat akhir dengan beberapa perkara teknikal masih diselaraskan bersama pengurusan dan persatuan sukan negeri sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.
“Senarai akhir atlet kini di peringkat akhir. Kita sedang menyelesaikan beberapa isu antara pengurusan sukan dan persatuan secara dalaman.
“Setakat hari ini, segala isu dapat diselesaikan dengan baik dan kita hanya menunggu pengumuman rasmi daripada MSN Selangor untuk memperkenalkan atlet yang akan mewakili negeri termasuk penyerahan bendera kepada setiap kontinjen Selangor dalam satu majlis nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 di Stadium Kajang di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Najwan memaklumkan dua acara iaitu renang artistik dan rapid fire berpasukan digugurkan selepas gagal memenuhi syarat minimum penyertaan enam negeri.
Beliau bagaimanapun memberitahu keputusan pengguguran berkenaan tidak menjejaskan persiapan kontinjen Selangor mahupun sasaran pungutan pingat.
“Pengguguran dua acara ini tidak memberi kesan kepada persiapan Selangor dan unjuran pingat kita masih berada di landasan yang ditetapkan,” ujarnya lagi.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.







