SHAH ALAM, 12 JULAI: Suasana di kawasan 'Bus Stand Klang' bertukar kecoh apabila segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu, hari ini.
Ada antara mereka bertindak nekad melompat keluar dari bas bagi mengelak ditahan ketika operasi yang bermula sekitar jam 12 tengah hari di pusat bandar berkenaan.
Operasi itu digerakkan JIM Selangor dengan kerjasama JIM Putrajaya dan menyasarkan lokasi yang dikenal pasti sebagai tempat tumpuan warga asing pada hujung minggu.
Tinjauan di lokasi mendapati keadaan menjadi kelam-kabut apabila sebahagian PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi di celah bangunan kedai berhampiran.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota operasi yang mengepung kawasan lebih awal berjaya menggagalkan cubaan mereka untuk meloloskan diri.
Pemerhatian mendapati kawasan itu menjadi tumpuan warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal, lapor Harian Metro.
Difahamkan, Ketua Pengarah Imigresen akan mengadakan sidang media esok berhubung operasi serta tangkapan tersebut.
Individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.






