SHAH ALAM, 12 JULAI: Sebuah kilang membuat alat sembahyang di Taman Industri Rawang terbakar dalam kejadian tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.01 tengah hari.
Beliau berkata seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama bantuan BBP Batu Arang, BBP Bukit Sentosa, BBP Selayang dan BBP Damansara dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.07 tengah hari dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang membuat alat sembahyang membabitkan bangunan kelas B berkeluasan kira-kira 200 x 300 kaki persegi.
“Anggaran kebakaran membabitkan 80 peratus kawasan bangunan dan berjaya dikawal selepas 35 minit kerja pemadaman dijalankan sekali gus mengelakkan api daripada merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, kerja pemadaman turut menggunakan sumber air daripada dua jentera tangki air bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya serta api dipadam dengan selamat.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan manakala punca sebenar kebakaran serta anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba sebelum tindakan lanjut diambil.







