Seorang maut, ibu dan anak terselamat dalam kemalangan di KESAS

11 Jul 2026, 11:51 AM
Seorang maut, ibu dan anak terselamat dalam kemalangan di KESAS

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seorang wanita maut, manakala seorang ibu dan anak terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu kereta dipandu mangsa berusia 20-an yang maut dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis sedan yang hilang kawalan di Kilometer 30.7 lebuh raya tersebut.

“Mangsa yang terselamat iaitu kakak ipar kepada pemandu dan anak lelaki berusia sembilan tahun mengalami kecederaan luka di kepala serta muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata pihaknya sedang mengesan suspek dipercayai seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an bagi membantu siasatan.

Beliau juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan keadaan kereta yang terbalik di Lebuh Raya KESAS dengan dakwaan mangsa kemalangan dilanggar pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.