Syarikat dron tawar latihan, buka peluang jadi juruterbang

11 Jul 2026, 10:00 AM
Syarikat dron tawar latihan, buka peluang jadi juruterbang
Syarikat dron tawar latihan, buka peluang jadi juruterbang
Syarikat dron tawar latihan, buka peluang jadi juruterbang
Syarikat dron tawar latihan, buka peluang jadi juruterbang

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Syarikat pengendali dron, Aeros Geotech Sdn Bhd membuka peluang pekerjaan sebagai juruterbang dron kepada individu yang tidak mempunyai sijil kemahiran atau pengalaman dalam bidang berkenaan.

Pengurus bagi cawangan Bagan Serai, Hamizar Rahim berkata calon yang berjaya akan diberi latihan sehingga mahir mengendalikan dron sebelum ditempatkan di lokasi operasi syarikat.

"Kami berada di Kuala Selangor bagi membuka peluang kepada rakyat dari seluruh negara menyertai syarikat sebagai juruterbang dron. Operasi kami bukan sahaja di Perak, malah turut meliputi Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pengurus Aeros Geotech Sdn Bhd (cawangan Bagan Serai) Hamizar Rahim ketika Karnival Kerjaya Jobcare Selangor Daerah Kuala Selangor di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) pada 11 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Syarikat sedang berkembang dan memerlukan lebih ramai tenaga kerja, khususnya lelaki yang berminat menjadikan bidang dron sebagai kerjaya selaras dengan perkembangan teknologi.

"Kelulusan minimum ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia juga dialu-alukan memohon. Walaupun tiada pengalaman, kami akan memberikan latihan asas sehingga mereka mampu mengendalikan dron dengan baik," katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia Hartalega NGC, Mohamad Nasrun Afiq Abdul Halim berkata syarikat pengeluar sarung tangan itu kini memerlukan lebih ramai juruteknik bagi mengendalikan mesin dan menyokong operasi penyelenggaraan.

Pengurus Sumber Manusia Hartalega NGC Sdn Bhd Mohamad Nasrun Afiq Abdul Halim ketika Karnival Kerjaya Jobcare Selangor Daerah Kuala Selangor di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) pada 11 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Kami telah beberapa kali menyertai Karnival JobCare dan kali ini memberi tumpuan kepada pengambilan juruteknik kerana terdapat keperluan tenaga kerja yang tinggi dalam bahagian penyelenggaraan mesin serta operasi.

"Bagi calon yang tinggal di luar kawasan Sepang, syarikat turut menyediakan kemudahan asrama," katanya.

Terdahulu, sebanyak 28 syarikat menawarkan kira-kira 4,000 kekosongan jawatan sempena Karnival Jelajah JobCare Selangor daerah Kuala Selangor yang berlangsung di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Kerajaan Negeri merancang mengadakan sembilan siri Jelajah JobCare tahun ini, bermula di Kuala Langat, bagi memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.

Karnival itu menyasarkan penyediaan sehingga 40,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, selain menampilkan dua segmen utama iaitu JobCare Istimewa dan JobCare Premium.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato' Menteri Besar memaklumkan karnival berkenaan akan diperkasakan tahun depan menerusi program pensijilan dan pembangunan kemahiran.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif itu sebagai usaha menangani isu pengangguran.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.