Karnival kerjaya di Gombak 13 Jun, tawar 4,000 peluang pekerjaan

3 Jun 2026, 9:05 AM
Karnival kerjaya di Gombak 13 Jun, tawar 4,000 peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 3 JUN: Karnival Jelajah Jobcare Selangor akan diteruskan di Dewan Seri Siantan (Kompleks Sukan Seri Siantan), Gombak pada 13 Jun depan.

Program yang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang anjuran Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia Negeri Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menyediakan aktiviti menarik lain seperti kaunseling kerjaya, pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta saringan kesihatan.

Selain itu, kaunter dari pelbagai agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan banyak lagi.

Calon yang berminat boleh hadir dengan berpakaian kemas serta membawa salinan resume serta sijil berkaitan semasa hari temu duga.

Kerajaan Negeri merancang sembilan siri Jelajah JobCare tahun ini, bermula di Kuala Langat sebagai usaha memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.

Karnival itu menyasarkan sehingga 4,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor, selain menampilkan dua segmen utama iaitu JobCare Istimewa dan JobCare Premium.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar memaklumkan karnival jelajah itu akan ditambah baik tahun depan, termasuk melibatkan program pensijilan dan pembangunan kemahiran.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan dalam usaha menangani isu pengangguran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.