ad

Selangor anjur sembilan Jelajah JobCare tahun depan, 40,000 pekerjaan menanti

19 Nov 2025, 8:33 AM
Selangor anjur sembilan Jelajah JobCare tahun depan, 40,000 pekerjaan menanti

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri bakal menganjurkan sembilan siri Jelajah JobCare tahun depan sebagai usaha memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.

EXCO Sumber Manusia, Papparaidu Veraman berkata program tersebut menyasarkan sehingga 40,000 peluang pekerjaan melalui pelbagai sektor, termasuk dua segmen utama iaitu JobCare Istimewa dan JobCare Premium.

“Inisiatif ini dirangka bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan belia tempatan selari aspirasi Selangor sebagai peneraju ekonomi negara,” katanya pada sidang media di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

EXCO Sumber Manusia Papparaidu Veraman ketika sidang media berkenaan Karnival Blueprint & I-Seed Kita Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 19 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Penganjuran jelajah tersebut diteruskan melalui kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, yang akan menghimpunkan lebih 300 majikan daripada pelbagai industri untuk menawarkan peluang pekerjaan secara langsung.

Papparaidu turut memaklumkan Kerajaan Negeri mengekalkan Program Insentif Sijil Profesional dengan pembiayaan sehingga RM5,000 bagi setiap peserta, bertujuan membantu belia meningkatkan kemahiran, kelayakan dan daya saing mereka.

Program yang dijalankan bersama institusi pengajian tinggi awam dan swasta itu menyasarkan penyertaan 40 pekerja tempatan, khususnya dalam bidang profesional seperti perakaunan, kejuruteraan dan teknologi.