Amirudin yakin gelombang HARAPAN berterusan hingga hari mengundi

10 Jul 2026, 8:14 AM
Amirudin yakin gelombang HARAPAN berterusan hingga hari mengundi

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin momentum sokongan pengundi akan terus meningkat sehingga hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok meskipun persaingan dengan Barisan Nasional (BN) disifatkan masih sengit.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato' Seri Amirudin Shari berkata sejak minggu pertama kempen, HARAPAN dan BN saling bersaing untuk meraih sokongan rakyat, lapor Sinar Harian.

"Pertandingan masih lagi sengit. Daripada minggu pertama lagi, persaingan melibatkan HARAPAN dan BN saling mengejar antara satu sama lain.

"Namun kita begitu yakin dengan sambutan daripada rakyat khususnya pada beberapa hari terakhir," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Grand Finale Pakatan Harapan Johor Selatan DUN Puteri Wangsa di Padang Awam Taman Pelangi Indah, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas prospek HARAPAN menjelang hari pengundian PRN Johor ke-16 esok.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata beliau percaya gelombang sokongan terhadap HARAPAN akan diterjemahkan menerusi keputusan di peti undi.

"Insya-Allah, saya percaya gelombang itu akan berterusan sampai hari mengundi dan diterjemahkan di peti undi. Namun kita berharap agar semakin ramai rakyat turun dan memberikan sokongan.

"Kalau tertarik dengan Pakatan Harapan, khususnya manifesto yang kita bentangkan dan kesinambungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan adalah pilihan terbaik untuk Johor kali ini," katanya.

Seramai 2,727,926 pengundi layak mengundi pada PRN Johor kali ini di 1,140 pusat mengundi.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.