SHAH ALAM, 10 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan empat cubaan menyeludup dadah melalui perkhidmatan kurier dengan rampasan dianggarkan bernilai RM513,045 menerusi operasi di Sepang dan Subang Jaya antara April hingga Jun lepas.
Pengarah JKDM Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata rampasan itu melibatkan dadah disyaki jenis bunga ganja (kanabis), syabu (methamphetamine), heroin, pil Erimin 5 dan ganja mampat.
"Kesemua kes berjaya dipatahkan hasil pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor dengan kerjasama Unit Risikan Khas JKDM dan melalui Operasi Mekong Dragon VIII," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata rampasan terbesar membabitkan dadah disyaki syabu dan heroin seberat 8,965 gram dengan nilai RM448,250 ditemukan dalam dua kotak palet kayu kurier eksport di sebuah pusat mel syarikat kurier di sekitar Sepang pada 24 April lepas.
Katanya sindiket mengikrarkan dagangan itu sebagai ‘Ceramic Wine Jar & Porcelain Vase’ bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum bungkusan berkenaan dirancang untuk dieksport ke sebuah negara di benua Asia.
Mohamad Azhar berkata pada 14 April, pihaknya turut merampas 781 gram disyaki bunga ganja bernilai RM62,480 daripada sebuah kotak kurier import.
"Sindiket membuat pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan bungkusan itu sebagai produk berasaskan lilin lebah untuk kegunaan pembuatan lilin, penjagaan badan, kulit, sabun dan losen bagi mengelak dikesan pihak berkuasa
“Dagangan tersebut diimport dari sebuah negara di benua Amerika manakala alamat penerima atau konsaini adalah di sekitar Kuala Lumpur," katanya
Beliau berkata pada 9 Jun, pihaknya merampas 100 biji pil Erimin 5 bernilai RM2,000 dan 105 gram ganja mampat bernilai RM315 pada 12 Jun, masing-masing dalam bungkusan kurier domestik di sekitar Subang Jaya.
"Kedua-dua bungkusan itu disembunyikan bersama makanan kering haiwan peliharaan dan diikrarkan sebagai ‘Kibbles’ bagi mengelirukan pihak berkuasa.
"Semakan mendapati satu bungkusan dirancang dihantar ke Kota Kinabalu, Sabah manakala satu lagi ke Miri, Sarawak,” katanya.
Kesemua barang kes dibawa ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.







