SHAH ALAM, 7 APR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas pelbagai barangan termasuk sirip ikan yu kering serta produk sejuk beku bernilai lebih RM10 juta menerusi Op Petasan pada Februari dan Mac lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata rampasan pertama melibatkan 35,660 kilogram (kg) sirip ikan yu kering bernilai lebih RM8.2 juta termasuk duti dan cukai.
Katanya, dagangan itu ditemukan hasil pemeriksaan ke atas tiga kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 12 Februari, 2 Mac dan 9 Mac lalu.
"Hasil pemeriksaan ke atas kontena terbabit menemukan 35,660kg sirip ikan yu kering yang dipercayai diimport tanpa permit sah.
"Nilai dagangan dianggarkan RM7,132,000, manakala duti dan cukai dianggarkan RM1,107,749.
"Dagangan berasal dari sebuah negara di benua Amerika Selatan dan dipercayai dibawa masuk untuk pasaran dalam negara," katanya pada sidang media hari ini seperti dilapor BH.
Dalam kes berasingan, empat kontena sejuk beku turut ditahan di lokasi sama pada 6 Februari lalu.
Kontena itu mengandungi ayam dan daging babi sejuk beku yang dipercayai diimport tanpa permit, dianggarkan bernilai lebih RM2.2 juta termasuk duti dan cukai.
Menurutnya, dagangan tersebut berasal dari sebuah negara di Asia dan dipercayai dibawa masuk bagi memenuhi permintaan sempena Tahun Baharu Cina selepas tiba di Pelabuhan Klang pada 16 dan 20 Januari lalu.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.






