Selangor perkukuh integrasi ekonomi ASEAN menerusi SIBS@ASEAN

9 Jul 2026, 11:00 AM
Selangor perkukuh integrasi ekonomi ASEAN menerusi SIBS@ASEAN

BANDUNG, 9 JULAI: Kekuatan Selangor sebagai hab utama pembuatan, logistik, perkhidmatan digital dan industri hijau menjadikan negeri itu rakan strategik dalam memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN, kata EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han.

Berucap pada pembukaan Selangor International Business Summit (SIBS@ASEAN) edisi sulung di Bandung, Indonesia, Sze Han berkata Selangor komited berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan rakan serantau bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.

"Kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan rakan-rakan di Jawa Barat serta wilayah lain di ASEAN, di samping membina rangkaian perniagaan yang lebih kukuh di seluruh rantau ini," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada sidang kemuncak dua hari itu di Hotel Pullman Grand Central, hari ini.

Sze Han berkata gabungan kekuatan Selangor dalam sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan digital dengan keupayaan dimiliki Jawa Barat dalam industri yang sama mampu mewujudkan sinergi rantaian bekalan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau turut memaklumkan delegasi Selangor ke SIBS@ASEAN kali ini merupakan yang terbesar pernah dihantar, melibatkan 70 syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat swasta yang beroperasi di Selangor.

Katanya, delegasi itu turut disertai 225 peserta, sekali gus mencerminkan minat tinggi pemain industri Selangor untuk meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Jawa Barat.

"Antara sektor yang diwakili ialah aeroangkasa, rel dan mobiliti, industri kreatif, utiliti dan tenaga, pembangunan hartanah serta teknologi.

"Selain itu, pameran selama dua hari ini turut mengetengahkan sektor pelancongan perubatan dan pendidikan tinggi menerusi penyertaan 30 reruai pameran," katanya.

Menurut Sze Han, pameran kali ini memberi tumpuan kepada promosi pelancongan perubatan dan pendidikan sebagai sektor perkhidmatan bernilai tinggi, di samping mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan pendidikan bertaraf antarabangsa.

"Saya yakin kerjasama ini mampu membina masa depan ekonomi ASEAN yang lebih kukuh, bersatu dan makmur," katanya.

Beliau berharap SIBS@ASEAN menjadi titik permulaan kepada hubungan ekonomi yang lebih erat antara Selangor dan Jawa Barat, selain memperkukuh kerjasama Malaysia dan Indonesia, dengan lebih banyak inisiatif seumpamanya dianjurkan pada masa hadapan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.