SHAH ALAM, 9 JULAI: Seramai 56 murid prasekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalani program pra saringan bagi mengenal pasti keperluan intervensi awal untuk membantu perkembangan pembelajaran dan tumbesaran mereka.
Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dalam kenyataan memaklumkan program julung kali itu bertujuan memperkukuh usaha pengesanan awal kanak-kanak berkeperluan khas supaya mereka menerima sokongan sewajarnya sebelum memasuki alam persekolahan.
“Program ini merupakan anjuran YANIS dengan melibatkan kesemua 13 prasekolah JAIS di seluruh Selangor, hasil kerjasama Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
“Program ini memastikan tiada golongan sasar tercicir daripada sistem sokongan perkembangan awal di samping memberi panduan kepada ibu bapa dan guru dalam melaksanakan intervensi yang bersesuaian," katanya menerusi Facebook.
Menurut YANIS, pra saringan yang bermula sejak April lalu membabitkan murid berusia lima dan enam tahun yang dikenal pasti guru serta pembantu guru mengalami kelewatan pembelajaran atau perkembangan.
Proses saringan dikendalikan pegawai bidang khusus 3PK sebelum diteruskan dengan sesi konsultasi bersama ibu bapa dan guru bagi merangka pelan intervensi awal yang bersesuaian mengikut keperluan setiap murid.
Dalam pada itu, YANIS berkata kerjasama strategik antara JAIS dan JPNS dapat memperkukuh ekosistem pendidikan inklusif di Selangor sekali gus memastikan setiap kanak-kanak berkeperluan khas menerima sokongan perkembangan awal.
YANIS turut merakamkan penghargaan kepada JAIS, JPNS, guru, pembantu guru serta ibu bapa atas komitmen dan maklum balas positif sepanjang pelaksanaan program berkenaan sehingga berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.
Menurut yayasan itu, inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen Kerajaan Selangor dalam memastikan setiap kanak-kanak memperoleh hak kepada pendidikan yang inklusif menerusi kerjasama pelbagai agensi di bawah pentadbiran negeri.







