SHAH ALAM, 8 JULAI: Masyarakat perlu mengelakkan kebergantungan melampau terhadap kecerdasan buatan (AI) sehingga mengorbankan keupayaan berfikir secara bebas, kata pakar psikologi pengguna dan penulis, Nadim Sadek.
Walaupun AI kini menjadi alat yang memudahkan kehidupan dengan meningkatkan kreativiti, memperluas akses kepada pengetahuan serta membantu orang ramai memperoleh maklumat dengan lebih berkesan, Nadim berkata AI perlu diterima sebagai rakan, bukannya dipercayai secara membuta tuli.
Beliau turut mengingatkan bahawa kebergantungan secara pasif terhadap teknologi boleh melemahkan keupayaan seseorang untuk berfikir secara kritis.
"Jika anda menggunakan AI, dan saya memang menggalakkan anda menggunakannya sebanyak mungkin, anda perlu menggunakannya secara interaktif, berdialog dan berbual dengannya, di mana anda saling bertanya, menjawab serta mencabarnya.
"Jika anda hanya mengemukakan soalan seperti menggunakan enjin carian Google pada zaman dahulu, anda akan mula kehilangan keupayaan otak untuk berfikir dan minda anda akan menjadi lemah. Justeru, jadilah seaktif mungkin apabila menggunakan AI," katanya pada program Selangor Literature and Content Expression (SLICE) di Pustaka Raja Tun Uda di sini, semalam.
Nadim berkata penyelidik menggambarkan fenomena yang semakin berkembang itu sebagai penyerahan kognitif (cognitive surrender) iaitu keadaan apabila pengguna menjadi semakin pasif kerana AI mampu memberikan jawapan yang lancar dan meyakinkan.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai beberapa isu berkaitan AI seperti peperangan yang menggunakan teknologi AI, ketidaksamaan ekonomi, penyebaran maklumat palsu, penyusutan sumber, autoritarianisme berasaskan algoritma serta penguasaan data Barat dalam sistem AI.

Dalam industri penerbitan pula, Nadem berkata AI mampu membantu penerbit, penulis dan perpustakaan membangunkan strategi yang diperibadikan bagi setiap buku supaya dapat mencapai pembaca dengan lebih berkesan menerusi pelbagai platform berbanding bergantung kepada kaedah pemasaran massa tradisional.
"AI juga sepatutnya digunakan untuk menyokong kreativiti manusia, bukannya menggantikannya.
"Daya imaginasi saya benar-benar berkembang apabila bekerjasama dengan AI untuk merangka dan membentuk idea-idea kreatif saya," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa emosi merupakan aspek yang tidak mampu digantikan AI kerana manusialah yang membawa unsur perasaan ketika berinteraksi dengan teknologi.
"Apa yang kita miliki tetapi AI tidak ada dan tidak akan pernah ada ialah perasaan. AI tidak mampu merasai kegembiraan. Jika anak anda meninggal dunia terlebih dahulu, anda akan berasa amat sedih. AI tidak mempunyai keupayaan itu.
"Apabila anda menjadikan AI sebagai rakan kreatif, anda boleh berbual, berinteraksi dan melalui proses perkembangan idea secara berdialog," katanya.
Nadim berkata pengguna tidak harus mempercayai atau menolak AI secara membuta tuli, sebaliknya, mereka perlu membina hubungan yang rasional dan seimbang dengan teknologi itu.







