SHAH ALAM, 8 JULAI: Lelaki yang mengamuk sambil mengacukan parang terhadap seorang individu di sebuah stesen minyak bulan lalu dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Bintulu semalam.
Kejadian yang berlaku pada 29 Jun lalu itu menggemparkan orang ramai apabila rakaman video memaparkan lelaki berusia 24 tahun cuba menyerang mangsa menggunakan sebilah parang tular di media sosial pada 3 Julai.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali, berkata tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
"Tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan," katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.
Nixon berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu yang bertindak ganas sehingga mengancam keselamatan awam.






