SHAH ALAM, 24 NOV: Sebuah syarikat pembekalan penyembelihan ayam dan empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memperdayakan orang ramai dengan membekalkan 6,555 kilogram (kg) ayam yang didakwa sebagai halal, selain bersubahat dalam kesalahan itu bulan lalu.
Keempat-empat individu berkenaan, Zafirah Karim, 36, Tanjena Akter Mollah, 35, Hossain Saddam, 34, dan Abdul Rahim Ariff Ali, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.
Mereka terdiri daripada dua rakyat Malaysia dan dua warga Bangladesh yang memegang jawatan sebagai pengarah, pengurus serta pekerja syarikat berkenaan.
Mengikut pernyataan pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Oktober lalu di sebuah premis di Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.
Pertuduhan dikemukakan mengikut subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah subperenggan 5(a) perintah sama.
Jika sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda sehingga RM5 juta, manakala bagi kesalahan berulang, denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya.
Sementara itu, tiga individu iaitu dua pengarah syarikat, Zafirah dan Tanjena Akter Mollah, serta pengurusnya, Hossain Saddam, turut didakwa mengikut Seksyen 65 Akta Perihal Dagangan 2011, dibaca bersama subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya.
Seorang lagi tertuduh, Abdul Rahim Ariff Ali yang juga pekerja syarikat berkenaan, didakwa bersubahat dengan syarikat itu melakukan kesalahan sama mengikut subperenggan 4(1) perintah berkenaan, dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dan Norhashimah Hashim.
Zafirah, Tanjena dan Hossain diwakili peguam Bernard Francis, manakala Abdul Rahim tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM35,000 bagi tertuduh warga Malaysia, manakala dua tertuduh warga Bangladesh tidak dibenarkan diikat jamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setiap bulan.
Terdahulu, pihak berkuasa menyerbu Syarikat Ayam Segar BM Sdn Bhd dan merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400.
Hasil siasatan mendapati premis itu dipercayai menggunakan kaedah rendaman air renjatan elektrik dalam proses penyembelihan ayam.







