SHAH ALAM, 8 JULAI: Seorang pemandu lori meninggal dunia selepas dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu sebelum kenderaannya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih semalam.
Kejadian jam 3.20 petang itu membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta Honda yang dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 64 tahun dalam perjalanan dari Sungai Buloh menuju ke Semenyih sebelum dipercayai mengalami serangan jantung sebaik tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan lori dipandu mangsa mengundur lalu melanggar kereta Honda yang berada di belakang.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 64 tahun ketika itu dalam perjalanan dari Sungai Buloh menuju ke Semenyih, sebelum dipercayai mengalami serangan jantung sebaik tiba di lokasi.
"Akibat kejadian itu, lori dipandu mangsa mengundur lalu melanggar kereta Honda yang berada di belakang," katanya hari ini, lapor Berita Harian.
Naazron berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang hari ini mendapati punca kematian mangsa berpunca daripada saluran jantung yang tersumbat.
Beliau berkata, kes kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya Malaysia 1959.
Menurutnya, kes kematian mangsa pula diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.







