Bintang lawan pedang Selangor asah bisa di Taiwan

8 Jul 2026, 5:18 AM
Bintang lawan pedang Selangor asah bisa di Taiwan
Bintang lawan pedang Selangor asah bisa di Taiwan
Bintang lawan pedang Selangor asah bisa di Taiwan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Atlet lawan pedang Selangor giat memperkemaskan persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menerusi gabungan latihan di Malaysia dan Taiwan.

Saif Nordin, 15, berkata persiapannya dibahagikan antara latihan di Malaysia yang merangkumi latihan berpusat bersama Persatuan Lawan Pedang Selangor (SAFA) serta latihan tambahan di Touche Fencing Club, Petaling Jaya, selain menyertai kem latihan antarabangsa Starry Fencing Club (SFC) di Taiwan.

“Saya membahagikan masa antara Malaysia dan Taiwan sebagai persediaan menghadapi SUKMA. Ia merangkumi latihan berpusat bersama SAFA serta latihan tambahan bersama jurulatih Andrew di Touche.

“Starry Fencing Club (SFC) International Camp di Taiwan merupakan komponen penting bagi pendedahan antarabangsa saya. Cuti persekolahan juga telah bermula, jadi saya kini boleh memberikan tumpuan penuh kepada sukan lawan pedang,” katanya kepada Media Selangor.

Saif yang semakin menyinar sebagai bintang baharu sukan lawan pedang negara turut menyifatkan tahap persediaan menjelang SUKMA kali ini jauh lebih tinggi berbanding edisi lalu.

Ini kerana, katanya, semakin banyak negeri mula melabur dalam program latihan di luar negara sekali gus membuktikan kesungguhan setiap negeri untuk menjulang emas bagi sukan lawan pedang.

Menurut Saif, kem latihan di Taiwan dipilih berikutan ia menghimpunkan jurulatih antarabangsa berpengalaman termasuk dari Itali, selain menawarkan peluang berlatih bersama atlet-atlet berkualiti tinggi dari seluruh Asia.

“Tahap persediaan kali ini jauh lebih tinggi berbanding SUKMA yang lalu, bukan sahaja untuk pasukan Selangor. Kita dapat melihat banyak negeri lain turut menjalani latihan di luar negara termasuk di Singapura, Hong Kong dan Korea.

“Saya memilih Taiwan kerana ia sesuai dengan gaya permainan saya, selain kami juga mempunyai hubungan yang baik dengan pihak SFC,” katanya yang bakal menyertai Kejohanan Dunia Senior di Hong Kong pada akhir bulan ini.

Dalam pada itu, Saif yang menerima penajaan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) ini merakamkan penghargaan kepada semua organisasi dan penaja yang membantu menjayakan persiapannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), SAFA dan para penaja yang telah menjadikan perancangan ini satu kenyataan.

“Memiliki impian sahaja tidak mencukupi, tanpa sumber dan sokongan yang diperlukan, amat sukar untuk merealisasikannya,” kata atlet yang memiliki ketinggian 184 sentimeter ini.

Bulan lalu, Saif mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih tiga pingat emas pada NS Matrix Fencing Festival 2026 di Seremban, termasuk juara kategori Terbuka selepas menewaskan atlet Sukan SEA Singapura, Julian Soh, 15–6 pada perlawanan akhir.

Sebanyak 12 pingat emas dipertandingkan bagi acara lawan pedang SUKMA yang akan berlangsung bermula 19 hingga 23 Ogos di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.