SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Buku Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam Selangor (HATIS) 2025–2030 sebagai langkah strategik memperkukuh tadbir urus institusi Islam dan memastikan pengurusan hal ehwal Islam dilaksanakan secara lebih mampan.
Pengerusinya Datuk Salehuddin Saidin berkata buku berkenaan berperanan sebagai pelan induk strategik yang dirangka bersama organisasi di bawah Pentadbiran Islam Selangor bagi menetapkan hala tuju pengurusan serta pembangunan hal ehwal Islam sehingga 2030.

“HATIS ini dirangka bagi memastikan setiap perancangan dan tindakan dapat dilaksanakan secara teratur, bersepadu dan berkesan, selari dengan aspirasi kelestarian serta keperluan masyarakat Islam di Selangor,” katanya ketika menyampaikan perutusan 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , hari ini.
Pelan hala tuju itu menggariskan enam teras strategik utama merangkumi aspek akidah, pendidikan, dakwah dan keluarga; pengurusan masjid dan pembangunan ummah; kebajikan dan ekonomi ummah; pengukuhan kutipan zakat dan wakaf; perundangan dan kehakiman syariah; serta tadbir urus dan kecemerlangan organisasi.

Dalam pada itu, Salehuddin turut menyeru warga MAIS, agensi serta anak syarikat agar terus meningkatkan tahap produktiviti, khususnya dalam aspek tadbir urus, kompetensi, disiplin, pematuhan masa dan kecekapan pelaksanaan tindakan.
“Saya berharap kita dapat meneruskan momentum kecemerlangan yang natijahnya akan menghasilkan kejayaan bermakna untuk umat Islam di negeri Selangor,” katanya.
Turut hadir Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta anak syarikat MAIS, selain barisan pengurusan tertinggi dan pegawai MAIS.


