SHAH ALAM, 7 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) sedang mempertimbang untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Kuala Langat, sekiranya keluarga mangsa memenuhi syarat kelayakan sebagai penerima zakat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata pihaknya akan meneliti sama ada keluarga mangsa tergolong dalam mana-mana daripada lapan kategori asnaf, khususnya fakir atau miskin, sebelum sebarang bantuan disalurkan.
Menurut beliau, setiap permohonan bantuan perlu melalui proses bancian dan pengesahan bagi memastikan bantuan zakat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
"Kalau seseorang itu jatuh dalam kategori fakir atau miskin disebabkan sesuatu kes, memang menjadi tanggungjawab kita untuk membantu.
"Kita akan buat bancian terlebih dahulu. Jika sah mereka layak menerima zakat, kita akan salurkan bantuan," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini hari ini.
Mohd Khaidzir berkata, bantuan tersebut antaranya meliputi kewangan bulanan, bayaran sewa rumah serta bantuan pemerkasaan ekonomi mengikut keperluan setiap keluarga.
Katanya, Zakat Selangor cakna dan kerap memantau kes tular di media sosial sebelum turun padang bagi mendapatkan kesahihan sesuatu maklumat tersebut.
"Kita tidak boleh terus percaya semua yang tular kerana ada juga kes tidak tepat dan sebab itu bancian dan pengesahan mesti dilakukan sebelum bantuan disalurkan," katanya.
Semalam, media melaporkan pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas ditikam beberapa kali pelajar perempuan lain di sebuah sekolah di Banting. Insiden itu disahkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Polis kemudian menahan suspek dan memperoleh perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat ini. Mangsa kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.
Laporan media turut menyebut suspek, yang dipercayai bersekolah di sekolah sama, tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana menjalani rawatan. Motif serangan serta kronologi penuh kejadian masih dalam siasatan.









