SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta daripada 17 penaja

6 Jul 2026, 12:00 PM
SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta daripada 17 penaja
SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta daripada 17 penaja
SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta daripada 17 penaja
SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta daripada 17 penaja

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 berjaya meraih tajaan berjumlah RM8 juta setakat ini hasil sumbangan daripada 17 syarikat swasta serta anak syarikat Kerajaan Negeri bagi menyokong penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata tajaan tersebut melibatkan sumbangan wang tunai, barangan dan perkhidmatan yang bukan sahaja membantu penganjuran SUKMA, malah memperkukuh pembangunan sukan negara serta ekosistem melahirkan atlet cemerlang.

Beliau berkata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjadi penaja bertaraf platinum bersama Nestlé Malaysia Berhad-MILO dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan jumlah sumbangan keseluruhan bernilai RM4 juta.

“Penganjuran SUKMA kali ini dengan keadaan kewangan terkawal. Pada peringkat awal, negeri meluluskan RM100 juta untuk penganjuran SUKMA, namun atas beberapa kekangan, peruntukan diturunkan 50 peratus.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berucap sempena Majlis Ramah Mesra Penaja dan Bapa Angkat SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kita tidak terima sebarang sumbangan kewangan dari Kementerian Belia dan Sukan. Sebab itu kita amat hargai sumbangan anak syarikat Kerajaan Negeri, syarikat korporat dan swasta yang sama-sama membantu penganjuran SUKMA ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Penaja dan Bapa Angkat SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 di sini hari ini.

Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd (KUSEL) dan Infrasel Sdn Bhd, masing-masing menyumbang RM500,000 merupakan penaja kategori emas bersama syarikat barangan sukan, Mesuma Sport Sdn Bhd (Marathon) serta Pusat Konvensyen Setia City dan Pusat Konvensyen Ideal, yang menaja fasiliti pertandingan.

Selain itu, pembekal barangan sukan Yonex-Sunrise Sport Sdn Bhd dan AirBnb Singapore Provate Limited dalam kategori perak manakala gangsa merangkumi syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd, Asia Pasific Sports Sdn Bhd, Hotel Wyndham Acmar Klang dan KDEB Waste Management Sdn Bhd.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bersama rakan penaja platinum sempena Majlis Ramah Mesra Penaja dan Bapa Angkat SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Terima kasih kepada semua penganjur. SUKMA turut mendapat sokongan khususnya dari pihak berkuasa tempatan yang memainkan peranan penting dalam membantu menyediakan fasiliti di seluruh negeri.

“Begitu juga dengan bapa angkat setiap acara sukan. Selain bantuan kewangan kepada persatuan, mereka ini turut beri sokongan moral kepada atlet,” katanya.

SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 10 September depan.

Temasya sukan terbesar negara itu melibatkan penyertaan semua kontinjen negeri selain Brunei Darussalam sah menyertainya sebagai kontinjen jemputan, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.