SHAH ALAM, 6 JULAI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 18 kes pembuangan bayi di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, kesemua bayi yang dikendalikan JKM berada dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, sebanyak 72 kes pembuangan bayi direkodkan sepanjang tahun 2025, manakala 18 kes lagi dicatatkan bagi tempoh tiga bulan pertama 2026.
“Bagi 2025, JKM merekodkan 72 kes pembuangan bayi manakala bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, 18 kes pembuangan bayi direkodkan.
"Daripada jumlah tersebut, 10 kes direkodkan di Selangor, dua kes masing-masing di Sabah dan Pulau Pinang, manakala Johor, Negeri Sembilan, Perak serta Sarawak masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, bagi menangani isu pembuangan bayi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi JKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai pendekatan merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan intervensi.
Menurutnya, JKM melaksanakan program pendidikan dan kesedaran masyarakat berkaitan tanggungjawab keibubapaan, pengukuhan institusi keluarga, perlindungan kanak-kanak serta implikasi perundangan dan sosial akibat pembuangan bayi.
Pada masa sama katanya, LPPKN terus memperkasa pengetahuan remaja mengenai tingkah laku seksual berisiko dan pendidikan kesihatan reproduktif menerusi Program KafeTEEN.
“Program ini memberi pendedahan mengenai amalan abstinence melalui teknik penolakan sebagai langkah mencegah kehamilan luar nikah, penyakit jangkitan seksual, eksploitasi pasangan serta gangguan emosi.
“Sejak 2006 hingga 2025, lebih sejuta remaja telah menerima manfaat menerusi Program KafeTEEN,” katanya.







