KPDN tumpas sindiket simpan minyak masak paket bersubsidi

11 Mac 2026, 3:46 AM
KPDN tumpas sindiket simpan minyak masak paket bersubsidi

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyimpanan minyak masak bersubsidi bagi tujuan urus niaga tanpa lesen sah.

Sindiket itu ditumpaskan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Putrajaya menerusi Ops Gerak Bahagian Penguatkuasaan KPDN, kelmarin.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata sebanyak 78 kotak minyak masak paket ditemui di premis itu dengan setiap daripadanya mengandungi 17 paket bersaiz satu kilogram (kg).

Beliau berkata, jumlah keseluruhan minyak masak disimpan di premis terbabit dianggarkan sebanyak 1,326 kilogram.

"Semua minyak masak paket terbabit dipercayai disimpan dengan niat untuk menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran pengawal bekalan. Keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM5,569.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata ketika serbuan, pasukan KPDN mendapati premis berkenaan berada dalam keadaan tidak berpagar dan tiada individu berada di lokasi.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan di sekitar premis sebelum pasukan penguatkuasa membuat semakan ke atas kenderaan yang berada di laman premis terbabit," katanya.

Azman berkata susulan semakan ke atas kenderaan terbabit, seorang lelaki tempatan kemudian hadir ke lokasi dan mengaku anak kepada pemilik rumah berkenaan.

Beliau berkata lelaki terbabit kemudian ditahan dan diambil rakaman percakapan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kenyataan pemeriksaan premis serta akuan sitaan juga sudah dikeluarkan kepadanya untuk siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat menjalankan urus niaga tanpa lesen sah daripada pengawal bekalan.

"KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna serta menyebabkan ketirisan subsidi," katanya.

Orang ramai disaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN di WhatsApp 0198488000 atau di talian 1-800-886-800; http://eaduan.kpdn.gov.my dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.