Projek Selangor Penyayang fokus naik taraf flat, KAFA di Seri Serdang

6 Jul 2026, 4:03 AM
Projek Selangor Penyayang fokus naik taraf flat, KAFA di Seri Serdang
Projek Selangor Penyayang fokus naik taraf flat, KAFA di Seri Serdang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Naik taraf flat kos rendah di Puchong serta kemudahan sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Batu 14 menjadi antara fokus pelaksanaan Projek Selangor Penyayang (PSP) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang tahun ini.

Wakil rakyatnya, Abbas Salimi Azmi berkata cadangan menaik taraf flat kos rendah di Puchong dan sekitar Taman Equine akan dipertimbangkan, selain memberi perhatian terhadap kemudahan di KAFA Batu 14 bagi meningkatkan keselesaan murid dan guru.

Menurut beliau, PSP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang diteruskan pada tahun ini walaupun berdepan cabaran ekonomi serta ketidaktentuan global.

“PSP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang diteruskan tahun ini malah pelaksanaannya lebih bermakna apabila peruntukan masih dapat disediakan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global, Kerajaan Negeri masih mampu menyediakan peruntukan bagi meneruskan PSP demi manfaat rakyat," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi ditemui di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam pada 27 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Abbas berkata, pihaknya menerima banyak permohonan bagi menaik taraf infrastruktur awam di Seri Serdang, namun keadaan kebanyakan kemudahan sedia ada masih berada pada tahap baik dan akan dinilai mengikut keutamaan.

Beliau berkata pelaksanaan PSP bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk melalui penambahbaikan kemudahan awam malah membuka peluang perniagaan kepada kontraktor kecil dan pembekal tempatan yang terlibat dalam pelaksanaan projek.

Pada 19 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM14 juta bagi memperkukuh fasiliti awam menerusi PSP dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.

Beliau berkata inisiatif tersebut turut melibatkan kerja mengecat pangsapuri berusia lebih 15 tahun yang memerlukan kerja penyelenggaran dan naik taraf bagi meningkatkan keselesaan serta kualiti persekitaran kediaman rakyat.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 diperkenalkan sebagai langkah Kerajaan Negeri mendepani kesan krisis tenaga dan gangguan bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.