Naik taraf infrastruktur sukan awam antara fokus DUN Seri Serdang pada 2026

1 Jan 2026, 10:05 AM
Naik taraf infrastruktur sukan awam antara fokus DUN Seri Serdang pada 2026

SHAH ALAM, 1 JAN: Naik taraf beberapa infrastruktur sukan awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang bagi memastikan kemudahan yang lebih selesa dan selamat digunakan orang ramai khususnya golongan belia akan diberi tumpuan tahun ini.

Wakil rakyatnya Abbas Salimi Azmi berkata antara fokus utama ialah menaik taraf kemudahan gelanggang luar badminton yang akan diubah suai menjadi gelanggang sukan pickleball, sejajar dengan trend sukan semasa dan bagi memaksimumkan penggunaan fasiliti sedia ada.

“Sebuah gelanggang futsal di Permai Court telah siap dibina dengan peruntukan RM40,000, selain beberapa padang bola dan futsal lain yang sedang dikenal pasti untuk kerja naik taraf.

“Selain itu, kerja pembaikan di kawasan permainan skateboard Seri Serdang dijangka siap dalam masa terdekat oleh ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan aspek keselamatan diberi keutamaan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Abbas memberitahu penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang menyaksikan Selangor sebagai tuan rumah dimanfaatkan sepenuhnya dalam merangka perancangan pembangunan belia dan sukan di kawasannya.

Beliau yang turut diamanahkan sebagai Ketua Kontinjen Selangor bagi SUKMA 2026 memaklumkan pendekatan tersebut diambil bagi membawa semangat dan ‘vibes’ acara sukan dwitahunan itu ke peringkat akar umbi, khususnya di Seri Serdang.

“Keutamaan saya pada tahun ini adalah golongan belia. Kita akan perbanyakkan penganjuran program sukan, sama ada sukan teras atau tidak untuk anak muda di DUN Seri Serdang dengan mengambil semangat SUKMA 2026.

“Seri Serdang menjadi venue acara kabbadi sekali gus memberi peluang kepada komuniti setempat merasai secara langsung kemeriahan temasya sukan berprestij itu,” katanya lagi.

Mengenai harapan tahun ini, Abbas mahu Kerajaan Selangor mengekalkan kecemerlangan pentadbiran berteraskan tadbir urus baik (good governance) di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau turut menegaskan keperluan memperbanyakkan program berbentuk keprihatinan rakyat susulan situasi kos sara hidup yang tidak menentu ketika ini.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil pendekatan membantu rakyat dan saya berharap lebih banyak inisiatif keprihatinan dapat diteruskan demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.