SHAH ALAM, 6 Julai: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi berkaitan Program Jana Wibawa ketika menerajui kementerian itu di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata Muhyiddin sebaliknya mempunyai kepentingan terhadap pelaksanaan Program Jana Wibawa kerana pernah mencadangkan supaya Kementerian Kewangan mengkaji program pembangunan Bumiputera itu.
"Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin, saya tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan berkaitan Program Jana Wibawa.
"Saya mengesahkan saya tidak mendapat apa-apa sebarang keuntungan peribadi dan ganjaran dalam bentuk kewangan semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin berkait program itu," katanya seperti dilapor BH.
Beliau turut menjelaskan Program Jana Wibawa merupakan antara pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan ketika itu bagi menangani impak pandemik Covid-19.
Tengku Zafrul tampil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan Muhyiddin yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram berkaitan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mula membacakan pernyataan saksinya pada jam 10.05 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Noor Ruwena Md Nurdin.
Tengku Zafrul yang memakai jaket biru tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8.30 pagi sebelum mengambil tempat di kandang saksi sebagai saksi pendakwaan ke-11.
Pada prosiding 25 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan Tengku Zafrul ialah saksi penting dalam perbicaraan itu dan telah diserahkan dokumen mahkamah yang memerlukan kehadirannya.
Beliau turut memaklumkan keterangan bekas Menteri Kewangan itu dijangka mengambil masa beberapa hari.







