KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Dua lelaki, masing-masing pemandu lori balak dan pemandu kereta sewa ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Hamidi Adam berkata kedua-dua pemandu berusia 31 dan 41 tahun itu, ditahan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas gagal ujian saringan awal air kencing.
“Mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja. Pihak JPJ akan mengambil tindakan menggantung lesen memandu kedua-duanya mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987, sekiranya disahkan sebagai penagih,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, operasi bersepadu yang melibatkan 59 anggota pelbagai agensi itu, menumpukan kepada pemeriksaan pemandu kenderaan perdagangan bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Hamidi berkata sepanjang operasi itu, 228 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 75 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, selain sebuah bas henti-henti turut disita untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menyertai operasi itu, turut memeriksa 36 kenderaan pelancongan dan mengesan satu kes kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong.
Kesalahan itu disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hamidi mengingatkan syarikat pengangkutan agar memantau dan memastikan pemandu yang digaji, bebas daripada pengaruh dadah atau berdepan tindakan undang-undang yang tegas jika gagal mematuhi syarat lesen.







