Warga emas diami rumah daif, jaga anak terlantar sakit terima bantuan segera

4 Jul 2026, 1:00 AM
Warga emas diami rumah daif, jaga anak terlantar sakit terima bantuan segera
Warga emas diami rumah daif, jaga anak terlantar sakit terima bantuan segera

KAPAR, 4 JULAI: Seorang ibu tunggal berusia 74 tahun yang tinggal di rumah daif di Jalan Kenangan di sini bersama anak lelakinya yang terlantar sakit menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa.

Penyelaras DUN Sementa, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid berkata, tindakan itu diambil susulan laporan wartawan Turun Padang Media Selangor, Nahar Sulaiman yang membawa kepada siasatan di lokasi.

Susulan itu, bantuan diselaraskan dengan kerjasama JKM, Pejabat Kesihatan Kapar, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang bagi meninjau keadaan keluarga berkenaan dan mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan.

Menurut beliau, Sukatmai Bakiri menyara kehidupan dengan menjual kuih sambil menjaga anaknya, Mohamad Jumadi Masir, 53, yang kini terlantar akibat masalah kesihatan.

"Hasil siasatan kita, Jumadi yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik sebelum ini melakukan kerja-kerja kampung bagi menyara kehidupan mereka," katanya.

Mohd Roslee berkata, Mohamad Jumadi mula mengalami masalah kesihatan selepas diserang sesak nafas.

Penyelaras DUN Sementa, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid (tujuh dari kanan) bersama wakil agensi dan komuniti meninjau rumah uzur yang didiami Sukatmai Bakiri dan anak lelakinya di Jalan Kenangan, Kapar.

Keadaannya kemudian semakin merosot apabila kedua-dua belah kakinya membengkak sehingga menyukarkan pergerakan dan kini hanya terlantar di atas katil.

Beliau berkata, Sukatmai terpaksa memikul tanggungjawab menjaga anak serta mencari rezeki meskipun sudah berusia 74 tahun.

Keadaan itu bertambah mencabar apabila rumah didiami mereka semakin uzur akibat dimakan anai-anai selain tidak mempunyai kemudahan bilik air dan tandas yang sempurna.

"Hari ini JKM telah menyalurkan bantuan meliputi barangan makanan keperluan asas dan tilam.

"Selain itu JKM turut menyumbang dapur gas dan khemah untuk memudahkan beliau menjual kuih bagi menyara kehidupan beliau dengan anaknya manakala Pejabat Kesihatan Kapar akan menguruskan anaknya yang sakit dengan merujuk kepada pihak hospital bagi pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh," jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyelaras tindakan susulan termasuk membawa Mohamad Jumadi menjalani pemeriksaan di hospital serta meneliti bantuan kebajikan yang bersesuaian melalui JKM.

Dalam pada itu, ICU Jabatan Perdana Menteri akan menilai keperluan membaik pulih rumah keluarga berkenaan atau membina kediaman baharu yang lebih selesa dan dilengkapi kemudahan asas.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.