HULU LANGAT, 25 APRIL: Sikap tidak bertamadun segelintir pihak terus mencemarkan Jalan Sungai Tekali apabila bahu jalan dijadikan tapak pembuangan sampah haram, dengan dua lokasi dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ utama.
Kegiatan itu dikesan di Jalan B11/6 yang menghubungkan Pekan Batu 14 ke Empangan Semenyih, laluan yang kini menjadi antara titik utama pembuangan sisa secara tidak sah.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat, Ir Ts Mohd Zamri Mohamud berkata lambakan sisa binaan dan sampah domestik di bahu jalan menjejaskan fungsi asal kawasan itu sebagai zon keselamatan pengguna.
“Perbuatan tidak bertamadun ini bukan sahaja mencemarkan kawasan rezab bahu jalan, malah membahayakan keselamatan pengguna apabila air sisa mengalir ke permukaan jalan terutama ketika hujan,” katanya dalam program Turun Padang terbitan Media Selangor.
Menurut beliau, JKR telah melaksanakan kerja pembersihan sebanyak empat kali dalam tempoh dua hingga tiga minggu dengan bantuan jentera jabatan serta syarikat konsesi.

Bagaimanapun katanya, isu berkenaan terus berulang, sekali gus menunjukkan perlunya langkah pencegahan lebih berkesan.
Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan merakam aktiviti mencurigakan bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Tazley Nik Nordin berkata kegiatan itu dipercayai didalangi pengusaha kutipan sampah tidak berlesen yang mengenakan caj kepada penduduk dan peniaga sekitar.
Jelas beliau, pihak terbabit dipercayai mmengambil jalan mudah dengan membuang sisa di bahu jalan bagi mengelak kos pelupusan, walaupun Tapak Pelupusan Sampah Sungai Lalang, Semenyih terletak tidak jauh dari lokasi berkenaan.
“Kita yakin sampah yang dilambakkan di lokasi ini diangkut menggunakan lori pada waktu malam kerana kawasan ini sunyi dan kurang kenderaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan memandang serius isu tersebut dan akan meneliti langkah pemantauan serta penguatkuasaan lebih tegas.
Antara tindakan segera yang dicadangkan termasuk pemasangan penghadang fizikal bagi menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan terbabit.
Isu tersebut juga akan dibawa ke mesyuarat tanah di peringkat daerah bagi merangka tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi.








